Pemimpin UMNO Perlu Ketepi Protokol – Zahid

52
0
SHARE

JASIN: Semua pemimpin UMNO harus mengenepikan sebarang bentuk protokol bagi mendekati golongan akar umbi, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana protokol sedia ada hanya banyak membataskan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.

“Setiap pemimpin tidak akan berada di atas tanpa ada sokongan daripada orang di peringkat bawahan.

“Justeru, pemimpin harus mengenepikan protokol bagi mendekati rakyat, seterusnya menguasai minda dan hati nurani mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin, di Dewan Alamanda, di sini, petang ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Ahmad Hamzah dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Anggota Dewan Negara, Tan Sri Mohd Ali Rustam dan kira-kira 1,000 anggota UMNO Bahagian Jasin.

Ahmad Zahid berkata, pemimpin UMNO perlu menjalankan amanah dalam kedudukan dan jawatan diberikan akar umbi kepada mereka dan bukan menjadikannya sebagai sesuatu yang memberikan pulangan lumayan dalam pelbagai bentuk.

“Berapa lama boleh pegang jawatan. Sampai dalam kubur. Selagi pegang jawatan kita mesti jaga kebajikan anak buah kita.

Jangan kira cawangan mana bahagian mana perwakilan mana yang sokong kita, selepas menang pegang jawatan kita mesti adil jaga semua,” katanya.

Beliau berkata, dalam menjalankan amanah itu, pemimpin UMNO perlu mengenepikan protokol bagi mendekati anggota peringkat akar umbi dan juga rakyat secara keseluruhannya.

Katanya dengan mengenepikan protokol dalam mendekati rakyat, pemimpin UMNO dapat menguasai minda dan hati nurani mereka seterusnya memperoleh sokongan untuk parti pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita ada Tan Sri Ali (Mohd Ali) dari dulu suka turun padang, pergi kenduri dari pagi sampai petang tengok rakyat tanpa protokol semua, semangat begini harus ada pada pemimpin,” katanya.