Pemimpin UMNO ‘Hentam’ Muhyiddin Persoal Baki RM2.6 Bilion

1584
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan baki wang RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadi hanya akan menyebabkan ahli parti keliru dan berpecah, kata pemimpin Umno pelbagai peringkat, lapor Berita Harian.

Ahli Majilis Tertinggi (MT) Umno Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi berkata Muhyiddin sengaja melakukan provokatif untuk mengelirukan ahli atau mempunyai niat jahat untuk mensabotaj parti.

Katanya, jawatankuasa pengurusan Umno wajar memantau tindakan dan kenyataan timbalan presiden parti itu.

“Saya mempertikaikan motif beliau. Apa yang mendukacitakan kita ialah selepas digugurkan daripada Kabinet, Muhyiddin membuat banyak kenyataan yang memberi jaminan beliau akan terus memperkukuhkan parti.

“Bagaimanapun tindak tanduk beliau mempertikaikan dana politik boleh menyebabkan ahli parti keliru dan berpecah, sekali gus menyebabkan parti semakin bergolak,” katanya.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak juga bersetuju dengan Puad dan berkata tindakan Muhyiddin akan membangkitkan kebencian ahli terhadap presiden dan mencadangkan ahli Parlimen Pagoh itu bersemuka dengan Najib untuk bertanya mengenai isu tersebut.

Seorang lagi ahli MT Umno Datuk Ab Aziz Kaprawi mendakwa, kenyataan Muhyiddin itu tidak beretika dan seolah-olah beliau sudah hilang kepercayaan terhadap presiden parti.

“Cukup-cukuplah Muhyiddin, hentikan segera tindakan mengungkit-ungkit isu derma. Beliau sepatutnya ikhlas membantu presiden, bukannya menyerang seperti berlaku sekarang,” katanya.

Ketua Penerangan Umno Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pula berkata RM2.6 bilion itu jumlah yang kecil jika dibandingkan dengan komitmen Najib menguruskan parti.

“Sebelum ini kita tidak pernah pertikai sumber diperoleh presiden Umno atau pengerusi BN yang dulu, kenapa sekarang dipertikaikan.

“Parti pembangkang termasuk DAP dan PKR juga mempunyai dana politik yang tidak didedahkan kepada umum. Malah, ahli atau pemimpin bawahan mereka juga tidak mempertikaikan sumber dana pemimpin mereka,” katanya.

Ketua Umno Nahagian Kuala Terengganu Datuk Mohd Sabri Alwi berkata kenyataan yang dibuat Muhyiddin ketika beliau masih lagi timbalan presiden parti adalah tidak wajar.

“Beliau seolah-olah cuba mempengaruhi ahli parti untuk membenci Najib. Kelihatan beliau sebahagian daripada konspirasi untuk menjatuhkan perdana menteri,” katanya.