Pemilihan Dan Pertukaran Presiden Harus Ikuti Proses Demokrasi

104
0
SHARE

Oleh: Shaiful Nizam

KUALA LUMPUR: Pemilihan dan pertukaran Presiden UMNO harus dibuat mengikut proses demokrasi serta perlembagaan parti dan bukannya mengikut telunjuk seseorang individu, tegas wakil UMNO Perak.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Senator Datuk Hamzah Mohd Kassim, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak telah diberi mandat menerajui parti secara demokratik dalam Pemilihan Agung UMNO 2013 yang melibatkan kira-kira 146,000 anggota di peringkat bahagian berbanding hanya lebih 2,000 perwakilan mengikut format pemilihan sebelumnya.

Oleh yang demikian, hak untuk menukar Presiden UMNO harus ditentukan oleh majoriti anggota UMNO dan bukan mengikut kehendak seorang mantan presiden jelasnya yang dipercayai merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini menjadi pengkritik paling lantang Najib sehingga menggesa Perdana Menteri untuk meletakkan jawatan.

“Beliau (Najib) sebagai presiden begitu terbuka untuk memberikan kepuasan kepada ahli parti untuk memilih pemimpin, jadi jangan disebut lagi di luar sana yang mengatakan presiden mengongkong ahli parti,” katanya semasa membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 di PWTC.

Dalam pada itu, Hamzah sempat mengkritik tindakan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada “Majlis Bersama Timbalan Presiden UMNO” di Kelab Sultan Sulaiman Isnin lalu yang disifatkan sebagai mengadakan perhimpunan dalam perhimpunan namun ucapannya tergendala dengan bantahan daripada sebilangan perwakilan.

Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin terpaksa campur tangan menenangkan keadaan yang riuh rendah.

Hamzah turut mengecam mantan Presiden UMNO dengan menyatakan bahawa kejayaan UMNO pada hari ini “bukan kerana insan bernama Mahathir” namun sekali lagi terganggu dengan balasan sorakan “Boo” daripada perwakilan.

Badruddin kemudian sekali lagi cuba mengawal keadaan dengan mengarahkan Hamzah menukar topik ucapannya.

“Sila ubah muka surat dan baca topik lain. Yang berlalu biarlah berlalu, yang penting kita pandang ke hadapan,” katanya berdiplomasi.

SHARE
Previous articleDamai Najib, Muhyiddin: ‘Cium Mulut Lebih Baik Daripada Berpeluk ’ – Zahid
Next articleTentera Dan Rakan Tidak Kekal