Pembikin Filem Perlu Berani Keluar Zon Selesa – Najib

138
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pembikin filem tempatan perlu berani keluar daripada zon selesa dengan menghasilkan karya bertaraf antarabangsa, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, untuk menjayakannya, pihak terbabit perlu menjadikan penghasilan filem dari negara serantau lain yang sudah mendapat pengiktirafan dunia sebagai penanda aras.

Beliau berkata hanya dengan cara demikian, akan berlaku evolusi dalam industri tempatan. Katanya, beliau faham akan kecenderungan pembikin filem tertentu untuk menggunakan formula yang sama setiap kali menghasilkan filem bagi memastikan kejayaan filem yang dihasilkan di pasaran tempatan.

“Itu adalah realiti imbangan antara pelaburan dan kutipan hasil. Namun begitu, tindakan sedemikian secara berterusan tidak akan membantu membangunkan industri filem tanah air.

“Mutu filem yang dihasilkan akan kekal pada tahap yang sama dan akhirnya industri filem Malaysia akan ketinggalan,” katanya pada majlis pelancaran Expo Filem Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, sebentar tadi.

Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.