Pembentangan Laporan Akhir Audit Terhadap 1MDB Ditangguh – Hasan

97
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini mengumumkan penangguhan pembentangan Laporan Akhir Pengauditan Ketua Audit Negara terhadap syarikat  1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadualkan pada 24 dan 25 Februari ini.

Pengerusinya, Datuk Hassan Arifin berkata, ini berikutan kebanyakan ahli PAC yang sedang berada di luar negara termasuk mengerjakan ibadah Umrah.

“Pembentangan Laporan Akhir Pengauditan Ketua Audit Negara Terhadap 1MDB yang  dijadualkan pada 24 Februari (Rabu) dan 25 Februari (Khamis) ini ditangguhkan,”  katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, tarikh baru bagi pembentangan laporan berkenaan dijangka pada minggu pertama bulan Mac ini.

“Penangguhan dibuat memandangkan kebanyakan ahli PAC berada di  luar negara, ada yang menunaikan umrah serta ada yang mempunyai komitmen penting.

“Adalah  penting  untuk  semua  ahli  PAC  hadir  bagi  mendengar  pembentangan laporan akhir pengauditan Ketua Audit Negara Terhadap 1MDB berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ini merupakan penangguhan kedua pembentangan Laporan Akhir Ketua Audit Negara terhadap 1MDB yang dijadualkan dibentangkan pada 17 Disember lalu.

Hassan sebelum ini dipetik sebagai berkata, penangguhan itu dibuat kerana laporan akhir itu perlu proses kemas kini.

Sebelum ini, PAC mengumumkan cadangannya untuk membentangkan Laporan Akhir Pengauditan terhadap 1MDB di Parlimen dalam sesi Dewan Rakyat bermula Mac hingga April ini.