Pembangkang Umum Tubuh Pakatan Harapan Tanpa PAS

395
0
SHARE

SUBANG JAYA: Pakatan Pembangkang mengumumkan penubuhan pembangkang baharu dikenali Pakatan Harapan tanpa membabitkan PAS, berkuat kuasa serta-merta.

Dengan penubuhan pakatan baharu itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan sebagai calon perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum akan datang.

Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, berkata pakatan baharu itu dianggotai PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN). Beliau berkata, sebuah jawatankuasa khas yang diwakili setiausaha agung dan wakil setiap parti akan ditubuhkan untuk memperhalusi terma penubuhan Pakatan Harapan termasuk perjanjian, dasar bersama dan etika kerja bersama.

“Mulai hari ini, Pakatan Harapan akan berfungsi sepenuhnya sebagai pakatan politik yang jitu untuk membela rakyat dan berdepan dengan UMNO,” katanya pada sidang media selepas persidangan meja bulat pakatan pembangkang di sini, sebentar tadi.

Diminta mengulas penyertaan parti lain dalam Pakatan Harapan, Dr Wan Azizah berkata, mereka mengalu-alukan dan turut membukanya termasuk kepada PAS.