Pembangkang Pun Sokong GST – Najib

159
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mempertahankan keputusan Putrajaya melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) semasa pembentangan Bajet 2016 hari ini, mengatakan pihak pembangkang juga turut menyokongnya.

Najib berkata, meskipun GST bukanlah keputusan popular, ia adalah tindakan betul demi untuk ekonomi Malaysia.

“Malah pihak sebelah sana yang menentang keras kini terima GST, terima kasih kepada pembangkang kerana anda faham,” kata beliau sambil memegang buku Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan.

“Kerajaan bertanggungawab akan melakukan keputusan betul walupun tidak popular ,” katanya ketika pembentangan Bajet 2016 di Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Menyambung ucapannya Najib berkata, tindakan pembangkang yang memasukkan pelaksanaan GST dalam Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan menunjukkan pendirian mereka sentiasa berubah dan tidak konsisten.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, sekiranya kerajaan tidak melaksanakan GST pada 2016 dan masih mengekalkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) hasil negara berkurangan sebanyak RM21 bilion.

“Jika dihalusi lagi, kalaulah kita kekal dengan SST, kutipan hanyalah sekadar RM18 bilion berbanding GST sebanyak RM39 bilion.

“Akibatnya defisit negara akan meningkat kepada 4.8% dan bukan lagi 3.1% seperti disasarkan pada 2016,” katanya.

Menurut Najib, sekiranya perkara itu berlaku maka kerajaan terpaksa meminjam untuk membayar gaji penjawat awam, penarafan kredit negara pula akan diturunkan dan kos pinjaman bagi semua seperti pinjaman peribadi, perniagaan serta perumahan akan meningkat. – INSIDER