Pelantikan Apandi Bukan Imbuhan Tutup Kes Najib – Azeez

408
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pelantikan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji (TH) bukanlah sebagai imbuhan bagi menutup kes membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagaimana dakwaan sesetengah pihak.

Sebaliknya, Pengerusi TH, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim menegaskan, siapa pun yang dilantik untuk menduduki kerusi itu pasti akan dijadikan modal oleh pembangkang untuk memburukkan imej TH, termasuk pelantikan beliau sebelum ini yang mengundang pelbagai fitnah.

“Ahli TH patut pertimbangkan niat saya, itu lebih penting kerana saya pun tahu yang mana halal dan haram malah, saya sudah berjanji dengan diri sendiri yang saya akan jaga TH dengan beramanah kerana ini melibatkan agama dan bukan hanya melibatkan jemaah Islam.

“Orang di luar sana akan tetap mengata saya, sebagai contoh jika saya lantik peguam lain seperti Tan Sri Shafee Abdullah nanti orang akan cakap sebab kulit sama (kroni). Niat saya ikhlas untuk menjaga pencarum dan jemaah kita dengan meletakkan pengamal undang-undang dalam TH,” katanya yang dipetik dari laman portal pro Barisan Nasional (BN) BNBBC.my.

Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling berkata, pelantikan Apandi tiada sebarang ‘conflict of interest’ memandangkan pemegang jawatan itu hanya akan menerima elaun kehadiran tanpa sebarang gaji.

“Beliau adalah sebagai ahli lembaga pengarah sahaja dan lantikan pula bulan lalu, kalau saya lantik bulan depan, lagi orang akan melihat ia sebagai ‘rewards’ kepada beliau. Selagi saya ni UMNO dan Barisan Nasional fitnah akan berterusan saya harap Allah beri hidayah kepada mereka,” ujarnya.

Pelantikan Apandi berkuatkuasa 15 Januari lalu.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pencarum TH tidak terlalu bimbang dengar khabar angin apabila TH dikatakan kekurangan dana.

“Dividen akan diumumkan sebelum Tahun Baru Cina. TH tidak menghadapi masalah tekanan kewangan, rugi, duit hilang dan sebagainya, semuanya ini fitnah bagi mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kebocoran surat peringatan daripada Bank Negara kepada beliau, Abdul Azeez berkata, perkara itu akan dilaporkan kepada pihak polis dalam masa terdekat.

“Saya yakin GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan) yang lain juga ada terima surat berkenaan dan saya pun sudah balas kepada (Tan Sri Dr) Zeti (Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara). Hari ini saya sudah drafkan laporan polis meminta disiasat bagaimana mereka boleh menerima surat yang disifatkan sebagai sulit.

“Saya juga sudah ada Peguam Negara di TH jadi saya akan minta nasihat daripada beliau,” kata Abdul Azeez secara berseloroh.

SHARE
Previous articlePersepsi Orang Ramai Bukan Di Pihak Najib – Wan Saiful
Next articleDerma RM2.6 Bilion Kekang Pengaruh Ikhwan Muslimin, Lapor BBC