Pelan Mega Untuk Kelantan TRW – Dr Vida

695
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Menunggu pinangan rasmi  Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman menawarkan pelan besar untuk transformasi skuad The Red Warrior.

Dr Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Dr Vida berkata,  beliau mempertimbangkan untuk menyediakan ruang dan laluan khas kepada penyokong wanita bagi memudahkan mereka memasuki Stadium Sultan Mohamed Ke IV, Kota Baru, Kelantan.

” Saya akan pertimbangkan sehingga ke peringkat akar umbi apabila saya jadi penaja,” katanya.

Malah beliau berkata, langkah pertama kepada transformasi itu adalah pertukaran jersi The Red Warrior kepada warna merah jambu.

“Tidak salah berbuat demikian. Ia warna fenomena di Eropah kerana kelab gergasi seperti Real Madrid turut mengenakan warna merah jambu sebagai warna jersi.

“Kita tengok Cristiano Ronaldo pakai jersi pink, menang lagi, macho pula tu, pink bermaruah dan memodenkan diri,” katanya.

Justeru Ketua Pegawai Eskekutif Vida Beauty Sdn Bhd itu meminta orang ramai khususnya penyokong tegar The Red Warrior melihat idea itu dari sudut positif.

Dr Vida berkata,  penyokong skuad bola sepak Kelantan perlu berani menerima transformasi tersebut dalam usaha untuk meningkatkan mutu dan mencetuskan anjakan baharu kepada industri bola sepak di negara ini.

“Pembaharuan mungkin berlaku dalam The Red Warrior. Apa yang saya buat sebelum ini jadi fenomena kerana saya lakukan daripada akar umbi.

“Saya ada cita-cita besar terhadap pasukan ini, jadi (penyokong) kena berani terima perubahan yang pastinya akan menggembirakan mereka dan (perubahan ini) menjadi mercu tanda kepada Kelantan,” katanya.

Katanya Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa menunjukkan reaksi positif terhadap syarat tersebut. Annuar kini berada di Makkah untuk mengerjakan umrah.

Baru-baru ini, Dr Vida menetapkan dua syarat terhadap Kafa sebelum bersedia menaja pasukan itu untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2016.

Dua syarat tersebut melibatkan perubahan kepada warna Stadium Sultan Muhammad IV kepada merah jambu, manakala nama The Red Warrior ditukar menjadi Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.

Namun, syarat yang ditetapkan tersebut mendapat kritikan penyokong pasukan itu yang menyifatkan ia sebagai tidak sesuai dengan imej garang Kelantan.

SHARE
Previous articleSultan Johor Berkenan Bersantap Sarapan Bersama Rakyat Muar
Next articleBarangan Di Mara Digital Mesti Lalui Syarikat Bumiputera