Pekerja Dedah Pelombong Bauksit Tidak Terkawal

111
0
SHARE

Oleh: Shaiful Nizam

KUANTAN: Pekerja di tapak perlombongan bauksit di Bukit Goh mengesahkan bahawa aktiviti perlombongan bahan mineral tersebut tidak terkawal sehingga menjejaskan kualiti alam sekitar dan menjejaskan kehidupan masyarakat setempat.

Tinjauan MySuara menyaksikan aktiviti yang rancak beberapa bulan lalu bertukar sepi berikutan arahan moratorium daripada Putrajaya selama 3 tiga bulan bermula 15 Januari lalu.

Pemandu lori bauksit yang mahu dikenali sebagai Mas menyifatkan kawasan ‘tanah merah’ itu sebagai ‘lombong emas’ kerana memberikan pendapatan lumayan sehingga dia sanggup berhijrah dari Kuala Lumpur ke Kuantan.

“Komisen 12 peratus setiap perjalanan dan hanya boleh dapat dua perjalanan sehari. Bolehlah dapat gaji mencecah RM3,000 sebulan,” jelasnya yang mengakui lebih 1,000 lori sehari beratur untuk mengangkut bauksit ke Pelabuhan Gebeng.

Pemandu berusia 20-an itu yang ditemui melepak di kedai makan berdekatan kemudiannya dilihat mulai resah berikutan ketiadaan kerja dengan arahan penutupan sementara aktiviti perlombongan di situ.

Wartawan MySuara yang memasuki kawasan perlombong tersebut kebetulan menemui penyelia sebuah syarikat perlombongan daripada Beijing, China.

“Kami terlibat dengan bauksit ini selepas harga bijih timah jatuh,” jelasnya yang sebelum ini terlibat dalam perlombongan bijih timah di Gua Musang sebelum diarahkan berpindah oleh syarikat ke Kuantan.

Dia mendakwa bekerja sebagai penyelia dengan syarikat GS Mining selama enam tahun. Bagaimanapun carian MySuara di Suruhanjaya Syarikat Malaysia gagal mengesan syarikat yang didaftarkan atas nama tersebut.

“Sini susah hendak kawal. Banyak kontraktor degil. Jika seorang (patuh arahan) tidak menjadi,” tambahnya yang mengakui kebanyakan kontraktor bersifat tamak sehingga muatan lori berlebihan dengan ketinggian lebih daripada lima kaki yang menyebabkan sisa-sisa baukit jatuh bertaburan di jalan raya.

Tambahnya lagi untuk tanah pajakan syarikatnya sahaja lebih 150 lori sehari digunakan untuk menghantar bauksit ke Pelabuhan Gebeng dan Pelabuhan Kemaman.

Walaupun aktiviti perlombongan tersebut dihentikan sementara waktu, dia yang digajikan lebih RM2,000 dilihat masih tenang dan masih terus memantau keadaan tanah yang dipajak majikannya.

“Saya dengar mula-mula tiga bulan, kemudian ditambah jadi 6 bulan… Tauke suruh berhenti (operasi) dulu.  Gaji dia bayar, makanan tengahari pun ada.”