Peguam Negara Gugur Dakwaan Hasutan Terhadap Azmi Sharom

125
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pejabat Peguam Negara hari ini menggugurkan kes dakwaan Akta Hasutan 1948 terhadap pensyarah undang-undang Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Azmi Sharom.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata keputusan itu dibuat demi menegakkan keadilan dan selepas mengkaji keterangan daripada semua saksi pendakwaan di Mahkamah.

“Saya, Peguam Negara Malaysia selaku Pendakwa Raya di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, dalam menggunakan budi bicara saya, memutuskan untuk memberhentikan pendakwaan ke atas Prof Madya Dr Azmi Sharom untuk pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tindakan untuk memberhentikan pendakwaan mengikut Akta Hasutan 1948 juga pernah dilakukan dalam kes membabitkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Pada 2 September 2014, Dr Azmi telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan disabitkan dengan pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

Dr Azmi, bagaimanapun, mengaku tidak salah terhadap pertuduhan menghasut berhubung krisis perlembagaan Perak 2009, 15 Ogos lalu dan didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Dr Azmi didakwa kerana kenyataannya di dalam sebuah artikel bertajuk “Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told” (Ambil jalan krisis Perak, selesaikan segera kebuntuan Selangor, Pakatan diberitahu), yang diterbitkan sebuah portal berita pada 14 Ogos.