Pecat Tun M Burukkan Lagi Imej Najib – Raja Bahrin

2764
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan melucutkan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat Petronas hanya akan meningkatkan lagi sokongan terhadap Gerakan Selamatkan Malaysia, kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Shah.

Beliau berkata, langkah tersebut secara tidak langsung memburukkan lagi imej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai seorang yang tidak berprinsip dalam memimpin negara.

“Najib bukan seorang negarawan dan jauh sekali seorang pemimpin berprinsip untuk memimpin Malaysia. Kerana itu, kita harus meneruskan perjuangan ‘Selamatkan Malaysia’ daripada kerakusan beliau.

“Pelucutan jawatan Tun Mahathir akan bergema di seluruh dunia dan akan memburukan lagi nama Malaysia dan memberi simpati pada Tun dan gerakan Selamatkan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Kabinet semalam sebulat suara bersetuju menamatkan kedudukan Dr Mahathir selaku penasihat Petronas atas alasan beliau tidak lagi menyokong kerajaan.

Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dalam satu kenyataan pula berkata, ia menghormati keputusan tersebut memandangkan lantikan penasihat adalah hak kerajaan.

Pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) itu juga membandingkan tindakan Najib dengan sikap bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dr Mahathir sendiri yang sentiasa menghormati lawan politiknya.

“Tok Guru Nik Aziz yang lama berperang politik dengan Tun pun berkata menghormati beliau sebagai seorang tokoh dalam hal-hal tertentu. Tun Mahathir sendiri tidak pernah mengambil tindakan keras kepada Tunku Abdul Rahman yang mengecam beliau,” katanya yang menyifatkan pemecatan tersebut sebagai tidak beradab, terutama terhadap seorang tokoh yang sudah berumur.

Dalam pada itu, Pengarah Strategi AMANAH Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah tersebut tidak akan dapat mengukuhkan kedudukan Najib mahu pun mengekang tentangan yang dihadapinya.

Malah, beliau menyifatkan Najib telah tersilap langkah kerana ia hanya akan meningkatkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan. – FMT