PDRM Tingkat Keselamatan Untuk Sidang Kemuncak Asean Di KL

273
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah meningkatkan tahap keselamatan sedia ada secara menyeluruh untuk Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata keputusan itu dibuat berikutan beberapa serangan pengganas di Perancis, Mesir, Lubnan dan Filipina.

“Pemeriksaan keselamatan di semua pintu masuk dan keluar Malaysia telah ditingkatkan.

“Selain itu, seperti yang diumumkan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain, anggota tentera turut serta dalam operasi bersama bagi memastikan tahap keselamatan maksimum ketika Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata terdapat laporan terhadap ancaman pengganas di Malaysia, namun ia masih belum dapat disahkan.

“Pihak keselamatan mengambil semua langkah berjaga-jaga dan tiada ruang untuk mengambil mudah. Tiada keutamaan lain selain keselamatan rakyat Malaysia dan tetamu kita,” katanya.

Khalid berkata keganasan dan tindakan melampau tiada tempat di negara ini.

“Kami tidak akan berhenti memburu dan menangani sesiapa sahaja yang mahu menggugat keamanan dan kestabilan negara ini,” katanya.

SHARE
Previous articleNurul Izzah Perlu Minta Maaf Kepada Rakyat Sabah, Malaysia
Next articleTelur Penyu Dihidang, Tak Semestinya Saya Makan – Ismail Sabri