PDRM Ambil 9,000 Anggota Baharu Tahun Ini

720
0
SHARE

MELAKA: Polis Diraja Malaysia akan mengambil kira-kira 9,000 anggota dan pegawai baharu bagi mengisi pelbagai jawatan sedia ada dan kekosongan pegawai yang telah bersara atau berhenti, sepanjang tahun ini.

Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM, Datuk Pahlawan Zulkifli Abdullah, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 3,000 kekosongan jawatan melibatkan persaraan dan pegawai yang berhenti manakala 6,000 lagi kekosongan baharu bagi pelbagai jawatan.

Beliau berkata, pengambilan baharu berkenaan penting bagi memastikan anggota dan kakitangan yang diperlukan jabatan itu mencukupi dan dapat memenuhi keperluan masyarakat setempat.

“Bagaimanapun, pengambilan baharu ini bergantung kepada peruntukan yang diperoleh PDRM daripada kerajaan dan kita sedang berunding dengan Kementerian Dalam Negeri bagaimana hendak menentukan peruntukan mencukupi dapat disalurkan kepada PDRM,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Melaka di Ibu pejabat Polis Kontijen Melaka, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengambilan tersebut akan dilakukan secara berperingkat dan calon perlu menjalani Ujian Integriti bagi memastikan mereka yang dilantik mempunyai nilai intergiti yang tinggi untuk menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan.

Selain itu, anggota baharu juga akan dinilai berdasarkan latar belakang dan kepakaran dalam bidang tertentu bagi memantapkan struktur organisasi PDRM dan sistem penyampaian serta perkhidmatan kepada rakyat, katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, PDRM juga sedang mengkaji semula silibus latihan di semua pusat latihan polis di seluruh negara bagi memantapkan kualiti anggota dan pegawai dari pelbagai aspek seiring dengan perkembangan semasa.

Beliau berkata, sebagai contoh unit polis pelancong di Melaka perlu menguasai lebih daripada satu bahasa terutama bahasa Inggeris untuk memudahkan mereka berkomunikasi atau membantu pelancong asing yang memerlukan pertolongan ketika melancong.

“Semua inisiatif ini antara fokus utama yang diberi perhatian Ketua Polis Negara pada tahun ini dalam usaha memastikan sumber manusia PDRM dapat dimantapkan dalam menghadapi cabaran semasa ke arah transformasi kepolisan moden dan bertaraf dunia,” katanya

Terdahulu, beliau menyaksi serah terima tugas Ketua Polis Melaka baharu, Datuk Ramli Din menggantikan Datuk Chuan Ghee Lye yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman.

SHARE
Previous articleRamai Ahli Amanah Kembali Ke Pangkuan PAS
Next articleMalaysia-UK Tingkat Kerjasama Tangani Ancaman IS – Zahid