Paul Low Perlu Letak Jawatan – Guan Eng

154
0
SHARE

GEORGE TOWN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low perlu berundur sebagai membantah penahanan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Tindakan meletak jawatan itu, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, adalah mesej kepada kerajaan untuk melindungi pemberi maklumat kegiatan rasuah.

“Saya tanya Low, apa gunanya jadi menteri, kalau Rafizi boleh ditahan hanya kerana mendedahkan kegiatan rasuah?

“Low perlu letak jawatan sebagai protes atau beliau boleh terus jadi menteri untuk buktikan ini adalah perkara biasa,” katanya dalam satu sidang media di Komtar, hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu kecewa, kerana Rafizi yang bertindak mendedahkan kegiatan rasuah, tidak diberikan perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Rafizi yang juga Naib Presiden merangkap Setiausaha Agung PKR, ditahan polis sebaik saja keluar dari kawasan Parlimen, semalam.

Beliau ditahan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA), kerana menyampaikan rahsia rasmi kerajaan secara salah.

Rafizi dipercayai ditahan kerana mendedahkan dokumen-dokumen rahsia di bawah OSA yang didakwa ada kaitan dengan 1MDB dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

“Kami mengutuk penahanan Rafizi di bawah OSA. Kami sangat sedih melihat beliau memakai baju lokap,” kata Guan Eng.