PAU 2015: Tiada Usul Tolak Najib Akan Dibahas – Hishammuddin

177
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan tiada usul menolak kepimpinan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak akan dibahaskan pada Perhimpunan Agung UMNO akan datang.

Hishammuddin yang merupakan Pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundangan UMNO berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang usul yang menolak kepimpinan Najib selaku Presiden dan juga Perdana Menteri.

“Saya merupakan Pengerusi (Biro Perlembagaan dan Perundangan UMNO) dan saya boleh sahkan bahawa tiada langsung usul sedemikian atau yang berkaitan diterima daripada bahagian.

“Tiada kemestian untuk mereka (bahagian) kemukakan usul menyatakan sokongan. Jika mereka mahu sokong, mereka sokong…tetapi apa yang lebih penting adalah ada atau tidak bahagian yang menolak kepimpinan Datuk Seri Najib,” kata Hishammuddin kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Pihaknya juga menerima usul kenyataan daripada 132 bahagian yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Najib.

Selain itu katanya, UMNO akan menganjurkan Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah pada 24 November ini bagi meneliti 513 usul daripada 738 usul yang diterima pihaknya.

“Melalui konvensyen ini akan kita akan fikirkan satu resolusi yang akan kita bawakan kepada Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Usul Majlis Tertinggi yang akan dibincangkan di Perhimpunan Agung UMNO akan datang.

“Ini bermakna perjalanan kita tahun ini lebih rapi, lebih teliti, lebih inklusif dan saya harap lebih relevan kepada perjuangan hakiki UMNO dan saya puas hati setakat hari ini dengan apa yang telah dilakukan,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai Pengerusi konvensyen tersebut yang bakal menghimpunkan 600 peserta termasuk cendekiawan akademik, ulama, belia, badan bukan kerajaan (NGO), individu yang terlibat dalam sektor ekonomi termasuk agensi kerajaan.

“Ini (konvensyen) merupakan satu platform yang akan memberikan ruang dan peluang kepada pelbagai lapisan pihak berkepentingan. Maknanya ini bukan platform untuk ahli UMNO semata-mata.

“Platform ini akan menjadi proses kepada mereka untuk berbahas dan berbincang berkenaan agenda rakyat melibatkan ekonomi, Islam, pendidikan dan wanita yang juga dekat dengan rakyat,” kata Asyraf.

Mengulas berkenaan usul yang diterima kepimpinan parti itu, Setiausaha Biro Perlembagaan dan Perundangan UMNO Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata pihaknya menerima sebanyak 738 usul di mana 513 usul perlu tindakan lanjutan sekaligus akan dibincangkan di peringkat konvensyen.

“Daripada 191 bahagian UMNO seluruh Malaysia, 170 bahagian telah kemukakan usul. Daripada 513 usul yang akan dibahas, 96 usul berkaitan politik, sosial (91), pendidikan (88), ekonomi (81), agama (58), pindaan perlembagaan  (5) dan lain-lain 94,” katanya.