Pasukan Cari Serpihan Akan Dihantar Ke Afrika – Liow

68
0
SHARE

SEPANG: Kementerian Pengangkutan akan menghantar satu pasukan ke Afrika Selatan dan Mozambique dalam masa terdekat bagi mencari lebih banyak serpihan pesawat di sepanjang pesisiran pantai negara berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pihaknya bersama-sama Jabatan Penerbangan Awam (DCA) kini sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa negara berkenaan.

“Ini berikutan serpihan pertama ditemui sepanjang pesisiran pantai Afrika dan sehingga kini juga, tiga serpihan sudah ditemui.

“Malah pihak Geoscience Australia dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) di Canberra, Australia turut mengesahkan pemeriksaan dua serpihan yang ditemui di Mozambique hampir pasti adalah daripada MH370.

“Melihat kepada corak penemuan ini, seeloknya tumpuan pencarian turut dilakukan di sepanjang pesisiran pantai Afrika bagi mencari lebih banyak serpihan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan wajah baharu pesawat kargo dan logo DRB-HICOM Asia Cargo Express (ACE) di sini, sebentar tadi.

Tiong Lai berkata, penemuan serpihan ini juga menunjukkan usaha pencarian yang dilakukan di selatan Lautan Hindi adalah tepat berdasarkan pola hanyutan serpihan.