PAS Gerak 60,000 Ahli Untuk Tunjuk Solidariti

902
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pas akan menganjurkan sebuah himpunan besar-besaran bagi menunjukkan sokongan kepada kepimpinan parti itu.

Ketua Pemudanya Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, himpunan itu dijangka akan dibuat di Kuala Lumpur atau Selangor dan mensasarkan seramai 60,000 orang akan menyertainya.

“Kita tahu Pas mempunyai masalah ada ahli kacau dari dalam. Isu GHB (Gerakan Harapan Baru). Kita tahu payah nak selesai. Sebab itu saya saran siapa nak keluar maka keluarlah. Sebab itu penyelesaian.

“Tujuan (himpunan adalah untuk ) menghimpunkan ahli dan penyokong Pas seluruh negara. Untuk beri kekuatan pada kami di peringkat pimpinan, ahli-ahli seluruh negara untuk terus komited dengan Pas,” katanya pada sidang medianya di Ibu Pejabat Pas pada Ahad.

Nik Abduh yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas menambah, pihaknya yakin akan mencapai sasaran 60,000 orang kerana ia mengumpulkan keempat-empat sayap parti itu yang terdiri daripada Pemuda, Ulama, Muslimat dan Dewan Himpunan Penyokong Pas.

Tambahnya, himpunan itu juga bertujuan bagi memberikan keyakinan kepada rakyat Malaysia dan ahli parti itu bahawa Pas mampu untuk menyelesaikan isu dalamannya dengan mudah dan cepat.

“Hari ini orang anggap isu ini akan panjang sampai PRU-14 (Pilihan Raya Umum-14). Saya yakin isu ini takkan lama. Pemuda yakin bulan 12 akan selesai,” katanya.

Sementara itu, Nik Abduh turut diminta mengulas mengenai khabar angin di media sosial bahawa abangnya, Nik Omar telah menyertai GHB.

“Saya hubungi dia berada di Thailand kerana dua, tiga hari menghantar anak dia belajar. Saya tak tahu gambar tu gambar bila kerana dia dua, tiga hari berada di Thailand.

“Saya tak boleh nak komen,” katanya

Berikut jawapannya ketika ditanya jika Nik Omar menyertai GHB.

“Saya terima. pimpinan Pas, pimpinan UMNO, pimpinan DAP masing-masing demokratik untuk siapa-siapa nak pilih gerakan masing. Keluarga saya ini 10 orang masing-masing semua sokong Pas tetapi NGO ini masing-masing berbeza.

“Ada yang ikut IKRAM, ada yang ikut ISMA tapi tabligh tidak ada lagi. Pak sedara keluarga saya banyak ..ayah saya tak marah kerana semuanya sokong Pas. Dalam krisis ini pun mungkin ada perbezaan antara kami adik beradik tapi itu tidak menjejaskan hubungan,” ujarnya.