PAS Desak Putrajaya Hidupkan Semula Pasukan Khas Siasat 1MDB

164
0
SHARE

KUALA LUMPUR: PAS menggesa Putrajaya menghidupkan semula pasukan petugas khas untuk menyiasat syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, PAS menyokong penuh saranan Raja-raja Melayu yang mendesak agar siasatan 1MDB diselesaikan dengan cepat.

“Dengan saranan Raja-raja Melayu, diharap kerajaan jangan berlengah lagi untuk menghidupkan pasukan siasatan khas 1MDB yang terdiri daripada Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Benarkan mereka untuk menjalankan siasatan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” kata timbalan presiden PAS itu dalam satu kenyataan hari ini, tidak berapa lama selepas Raja-raja Melayu menyarankan semalam agar siasatan 1MDB diselesaikan secepat mungkin.

Dalam satu kenyataan malam tadi, Raja-raja Melayu menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.

“Penemuan siasatan ini hendaklah dilaporkan secara lengkap dan telus supaya rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran,” kata Raja-raja Melayu dalam kenyataan itu.

SHARE
Previous articleManny Pacquiao Umum Tanding Jawatan Senator
Next articleTH Tidak Bercadang Hadkan Umur Jemaah Haji