PAS Berhimpun Bebaskan Baitulmaqdis

11
0
SHARE

KUALA LUMPUR: PAS mengarahkan semua ahlinya untuk berhimpun secara aman bagi membebaskan Baitulmaqdis di Kedutaan Amerika Syarikat di seluruh negara pada 8 Disember ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata PAS meminta penyatuan semua umat Islam tanpa mengira kaum, mazhab dan fahaman politik bagi menentang Presiden Amerika Syarikat,​ Donald Trum,p yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Katanya, PAS turut menjemput pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mahasiswa untuk turut serta dalam perhimpunan berkenaan.

“PAS juga berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk menghantar surat bantahan kepada Rumah Putih dan memanggil segera wakil Kedutaan Amerika Syarikat di negara ini untuk menyatakan kemarahan rakyat.

“Baitulmaqdis adalah titik penyatuan umat Islam berpaksikan syariat Islam yang adil. Sehubungan itu, pengisytiharan Trump dikecam kerana mencabar kesabaran umat Islam serta mencemar kesucian bumi Al-Quds,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Tambah kenyataan itu, keberanian Trump dilihat selepas kejayaan Amerika Syarikat dan rejim Zionis mencampuri urusan negara Arab Saudi yang diikat sebagai rakan karib mereka melalui strategi mengapi-apikan semangat perkauman dan mazhab sehingga berjaya menimbulkan huru-hara di Asia Barat.

“Negara Islam disibukkan dengan peperangan sesama sendiri sehingga mengabaikan perjuangan pembebasan Palestin dan Baitulmaqdis.

“Pada masa sama, ia membenarkan rahsia pemetaan dunia baharu dilaksanakan.

“Sejarah tamadun dunia memperlihatkan hanya Islam sahaja yang berjaya mewujudkan keadilan kepada masyarakat majmuk dengan membenarkan penganut Kristian dan Yahudi beribadat dengan bebas dan aman, sebaliknya tiada keamanan boleh diharapkan daripada Amerika Syarikat dan rejim Zionis,” kata kenyataan itu.

Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, pagi tadi, sekali gus menamatkan dasar berhati-hati Amerika Syarikat dan tidak mengendahkan amaran mengenai kesilapan yang boleh mencetuskan keganasan di Asia Barat.