PAS Bergerak Sendiri Hadapi PRU14 – Hadi Awang

23
0
SHARE

KUALA LUMPUR: PAS menegaskan parti Islam itu tidak akan menyertai Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH), sekali gus membayangkan akan bergerak sendiri dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presiden PAS,  Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata parti itu tidak mahu menyertai PH kerana bercanggah dengan dasar dan konsepnya.

Katanya, PAS juga tidak boleh menyertai BN kerana masih terdapat halangan dalam melaksanakan dasar dan matlamat parti itu.

“PAS tidak bersama PH kerana bercanggah dengan dasar dan konsepnya. Di dalamnya ada parti dan pemimpin yang berterusan menentang Islam secara terbuka atau bersembunyi atau oportunis.

“PAS tidak boleh menyertai BN kerana pernah menyertainya dan terkini, memerintah negara dengan bebanan masalah dan penyakitnya, selain masih ada halangan terhadap dasar dan matlamat PAS. 

“Menyertai BN laksana memikul biawak hidup, walaupun sebahagian kalangan mereka yang mencipta masalah dalam BN sudah keluar dan menyertai PH. 

“Bahkan menyertai PH, biawaknya lebih besar dan penyakitnya lebih parah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan pelbagai pihak terhadap pendirian PAS, sama ada mahu memilih BN atau PH, khususnya dalam menghadapi PRU akan datang.

Abdul Hadi berkata, PAS tidak sedikit pun keliru dalam menentukan pendiriannya, selain tidak dalam dilema untuk memilih rakan politiknya.

“Banyak kalangan yang bertanya sikap PAS di antara memilih bersama PH atau BN, namun hanya pihak lain sahaja berdilema berkenaan PAS, menandakan PAS diminati semua,” katanya.