Parlimen Perlu Diberi Masa Teliti TPP – Nurul Izzah

185
0
SHARE
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu memastikan beliau bertanggungjawab terhadap segala janji yang dibuat kerajaan berhubung Rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) sebelum ini, selepas rundingan 12 negara terlibat itu selesai.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam satu kenyataan menegaskan seperti mana Kongres Amerika Syarikat yang mempunyai tempoh 90 hari untuk membahas perjanjian itu, Dewan Rakyat juga perlu diberi tempoh masa yang mencukupi untuk meneliti perjanjian yang bakal memberi pelbagai kesan kepada Malaysia.

Nurul Izzah menambah, masyarakat sivil juga perlu diberi akses untuk meneliti dokumen akhir TPP.

Ini kerana rakyat perlu dilindungi daripada kebimbangan berhubung kos perubatan, perlindungan ke atas harta intelek, serta status syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Khazanah, Petronas dan Tenaga Nasional Berhad.

Jelas Nurul Izzah, usaha untuk memastikan TPP dirunding demi kepentingan utama Rakyat, tidak akan berakhir sehingga ia dimeterai.

Beliau turut mengulangi desakan supaya kerajaan bersikap lebih telus dan mengotakan janji mereka untuk mendedahkan kandungan rundingan kepada umum.

Pada Isnin, Malaysia dan 11 negara lain mencapai persetujuan dalam rundingan perjanjian perdagangan bebas, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang akan menghapuskan sekatan dan memudahcarakan prosedur perdagangan di semua negara anggota.

Menurut laporan Reuters, perkara itu dipersetujui semua Menteri-Menteri Perdagangan negara Pasifik yang menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri TPP di Atlanta, Amerika Syarikat, bermula Rabu lalu.

Selain dari Malaysia, negara anggota yang telibat dalam rundingan TPP ialah Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

TPP yang merangkumi perdagangan bebas melibatkan 40 peratus ekonomi dunia itu hanya akan berkuatkuasa selepas Parlimen kesemua negara yang terbabit dalam rundingan itu meluluskannya.

Antara perkara yang dirundingkan di Atlanta adalah berkenaan industri automotif Jepun, tempoh minimum paten pengeluar ubatan dan sekatan pertanian.

TPP dirunding selama lima tahun oleh Amerika Syarikat dan Jepun dengan sasaran untuk menghapuskan sekatan perdagangan dengan 10 negara lain yang terlibat.

Teks perincian penuh sepanjang 30 bab dilaporkan hanya akan diterbitkan dalam masa 30 hari. – AWANI