Pakatan Pembangkang Baru Akan Dibentuk Tidak Lama Lagi – Kit Siang

269
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Lim Kit Siang mengisytiharkan sebuah pakatan pembangkang yang baharu untuk Malaysia akan dibentuk apabila kemunculan parti politik Gerakan Harapan Baru (GHB) dalam beberapa minggu lagi.

Beliau berkata negara memerlukan sebuah parti politik Islam baharu yang dapat menyatukan semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang mereka.

“Ini akan menjadi satu lagi peristiwa penting dalam sejarah politik Malaysia untuk pembentukan sebuah parti Islam yang inklusif dan berfikiran terbuka.

“Ia akan menandakan pembentukan semula kuasa politik di negara ini dan munculnya sebuah parti politik baharu untuk menggantikan Pakatan Rakyat – sama ada Pakatan Rakyat baharu, Pakatan Rakyat 2.0 atau nama lain yang akan diputuskan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan Gerakan Harapan Baru di Pontian, Johor pada Khamis.

Penasihat kebangsaan DAP itu berkata walaupun Pakatan Rakyat sudah berkubur, harapan dan aspirasi rakyat Malaysia terhadap perubahan politik tidak berubah.

Katanya, aspirasi untuk perubahan dibawa ke dalam kehidupan dengan sokongan orang ramai terhadap GHB.

Menurut Kit Siang, beliau dimaklumkan oleh pengerusi jawatankuasa GHB, Mohamad Sabu bahawa sebuah parti politik baharu akan muncul dalam beberapa minggu lagi.

GHB ditubukan kumpulan progresif PAS yang tersingkir pada pemilihan parti itu pada Jun lalu.

Kit Siang berkata rakyat Malaysia harus berfikir cara bagaimana untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi negara yang gagal walaupun sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Sebab itu walaupun terdapat perbezaan politik kita, saya bersedia bekerja dengan Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

SHARE
Previous articleGLIC, G20 Terajui Malaysia Merealisasi Status Negara Berpendapatan Tinggi – Najib
Next articleSaya Bukan ‘Yes Man’ – Muhyiddin