Pakatan Harapan Tolak Cadangan BERSATU

23
0
SHARE

KUALA LUMPUR: DAP menegaskan semua parti dalam Pakatan Harapan mengamalkan konsep sama rata, sekali gus menolak cadangan PPBM untuk menjadi parti utama mendukung perjuangan Pakatan Harapan.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, berkata cadangan yang disuarakan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, itu tidak sepatutnya ditimbulkan kerana tidak wujud persoalan mana-mana parti mendominasi pakatan itu.

“Seperti kita sedia maklum, semua parti di bawa Pakatan Harapan mempunyai hak yang sama rata. “Maka, tiada isu parti mana yang akan mendominasi gabungan parti itu.

“Hak itu juga diamalkan sejak penubuhan Pakatan Rakyat,” katanya pada sidang media di Bilik Media Parlimen, hari ini.

Semalam, Muhyiddin dilaporkan berkata pihaknya mencadangkan gabungan itu berteraskan Melayu di mana parti pimpinannya itu akan mendukung perjuangan Pakatan Harapan.

Pada 14 Mac lalu, pimpinan PPBM sebulat suara bersetuju untuk membentuk gabungan rasmi dengan Pakatan Harapan.