Pakatan Harapan: Ketidakpastian Landskap Baru Pembangkang

456
0
SHARE

Oleh: Khizairi Khizan

KUALA LUMPUR: Satu lagi lakaran sejarah politik negara tercipta apabila gabungan antara parti-parti pembangkang yang baru diwujudkan dengan nama Pakatan Harapan bagi menggantikan Pakatan Rakyat.

Oleh itu, ia bakal merubah landskap politik pembangkang dengan menggabungkan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah). Kali ini tanpa PAS.

Pakar akademik, Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berpendapat bahawa apabila satu gabungan baru ini diwujudkan ia bermakna PKR dan DAP sudah tergugat kerana ketiadaan PAS.

Beliau yang juga pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, sebelum ini PAS adalah aset penting kepada gabungan pakatan pembangkang dalam Pakatan Rakyat.

“Kewujudan Pakatan Harapan akan memberi cabaran besar kepada parti pembangkang yang terlibat berhubung penerimaan rakyat terhadap mereka dan ini belum dapat diukur oleh mereka sendiri,” katanya.

Berhubung hala tuju parti Amanah yang terlalu baru Samsul menjelaskan ia adalah sebuah parti serpihan daripada PAS dan setakat ini dilihat kekuatannya hanya mengharapkan bekas barisan kepimpinan PAS yang kalah pada pemilihan parti berkenaan pada pertengahan tahun yang lalu.

“Situasi ini menampakkan pencarian arah mereka terutama sekali dalam memastikan sejauh mana penerimaan rakyat Malaysia terhadap mereka di kesemua negeri,” katanya.

Dalam pada itu mengenai PAS yang mungkin bergerak bersendirian selepas ini beliau berkata, parti berkenaan mempunyai sejarah yang panjang dan sememangnya sebelum wujud gabungan antara parti pembangkang, ia sudah lama bergerak dalam arus politik negara ini.PAKATAN_HARAPAN

“Sudah pasti selepas ini PAS dapat berdiri sendiri kerana mengikut formula pembahagian semasa mereka berada dalam Pakatan Rakyat dulu, negeri –negeri yang majoriti terdiri daripada pengundi Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah serta kemungkinan Pahang, PAS dan Pakatan Rakyat dibahagikan kerusi Parlimen.

“Contohnya di Kelantan diberikan 13 kerusi parlimen, enam daripada kerusi itu diberikan kepada Pakatan Rakyat. Tetapi pada pilihan raya akan datang PAS menjadi lebih kuat kerana parti itu boleh bertanding dalam 13 kerusi parlimen itu,” jelas beliau.

Kesimpulannya Samsul berkata, Pakatan Harapan akan terus menghadapi pelbagai cabaran pada masa akan datang yang bukan hanya bersaing dengan UMNO malah dengan bekas sekutu mereka dari PAS dan PRU akan datang memperlihatkan politik yang lebih rancak dalam kesemua parti yang bertanding.

Sementara itu bagi Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Zafril Eusoff berkata, beliau yakin bahawa Pakatan Harapan dapat membawa satu gelombang positif dalam politik negara.

Kata beliau, politik adalah dinamik yang mana Pakatan Harapan merangkumi kerjasama dari pelbagai peringkat bukan setakat parti politik malah sokongan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan ia antara kelebihan Pakatan Harapan.

“Pada pandangan saya untuk menjadi lebih kuat, Pakatan Harapan perlu lebih bekerjasama lagi dengan mana-mana NGO yang ada dan mendapat sokongan dari pelbagai.

“Pakatan harapan mempunyai harapan yang besar dalam menempuh Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” kata beliau.

Ketika ditanya mengenai Amanah sebuah parti yang baru dan masih tiada lagi menunjukkan prestasinya dalam menambat hati rakyat, Zafril berkata PKR juga parti yg boleh dianggap baru yang mana usianya 16 tahun namun parti itu boleh diterima rakyat.

“PKR masih ‘remaja’. Setiap parti akan melalui proses pendewasaan. Sejauh mana kekuatan parti tersebut bergantung sejauh mana mereka komited untuk berkhidmat dan mendekati rakyat,” jelas beliau lagi.