Pakatan Harapan Johor Sedia Bekerjasama Dengan Muhyiddin

161
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan Johor bersedia untuk bekerjasama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi program `Selamatkan Malaysia’.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, kerjasama itu turut akan dilakukan bersama pemimpin UMNO, MCA dan Barisan Nasional di peringkat negeri.

“Mesej yang paling penting adalah Pakatan Harapan Johor menerusi ketiga-tiga parti politik iaitu DAP, PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan AMANAH (Parti Amanah Negara) berazam untuk menjadikan Johor sebagai negeri barisan hadapan dalam pertempuran untuk perubahan politik pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

“Tetapi jadual politik telah berubah dan cabaran yang besar adalah sama ada Pakatan Harapan boleh berjaya menumbangkan UMNO-BN di Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Muar, Johor semalam.

Dalam pada itu beliau berkata, Muhyiddin pernah mengeluh mengenai masalah besar yang dihadapi di Malaysia pada masa ini apabila ketiadaan semangat untuk memastikan pemimpin berpegang teguh kepada nilai-nilai murni dan bersifat jujur.

“Rekrut terbaru kepada agenda Selamatkan Malaysia adalah menerusi Tan Sri Muhyiddin di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Pagoh ini agar rakyat Malaysia dapat bersatu untuk menyelamatkan negara daripada menjadi sebuah negara yang gagal,” ujarnya. – FMT