Pakar Optimis Serpihan Mungkin Bantu Selesai Misteri Kehilangan MH370

217
0
SHARE
PETALING JAYA: Serpihan ‘flaperon’ yang ditemui di pantai Pulau Reunion di Lautan Hindi dikenal pasti secara positif sebagai sebahagian daripada bahagian pesawat Boeing 777, menjadikannya kemungkinan milik pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang.

Terdapat beberapa insiden membabitkan pesawat Boeing 777 sejak ia mula beroperasi pada 1994. Daripada kesemua kes, hanya lima yang disimpulkan sebagai pesawat yang diangggap sebagai “kerugian atau musnah secara menyeluruh”.

Daripada lima kes itu, hanya satu yang membabitkan sebuah pesawat yang hilang di lautan di hemisfera selatan iaitu MH370, dengan kehilangannya terus menjadi misteri sejak insiden pada Mac 2014.

Teka-teki mengenainya mungkin akhirnya dapat terjawab.

Beberapa individu yakin penemuan terbaharu ke atas serpihan itu mungkin membantu menyelesaikan misteri kehilangan MH370.

“Hanya satu pesawat Boeing 777 yang kita tahu di Lautan Hindi yang boleh membawa kepada bahagian yang terapung itu adalah milik MH370,” kata Martin Dolan, ketua agensi penyelaras pencarian pesawat itu dalam air yang berpangkalan di Australia.

Jika serpihan tersebut dapat disahkan sebagai bahagian MH370, ia akan menjadi bukti yang pertama bagi penemuan pesawat yang hilang.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, flaperon itu secara rasminya dikenal pasti sebagai sebahagian daripada Boeing 777 oleh pihak berkuasa Perancis bersama Boeing, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat dan pasukan penyiasat Malaysia.

Sebagai tambahan kepada bukti yang semakin hampir mengenai penemuan pesawat yang hilang, lebih banyak serpihan dijumpai di terdampar di pulau itu.

Laporan media Sky News yang memetik sumber berkata, serpihan dipercayai bahagian pintu pesawat ditemui oleh pengumpul sampah di pulau itu.

Individu yang menjumpainya bekerja untuk memastikan keadaan pantai bersih dan dilaporkan telah mengambil kerusi pesawat warna biru dan beberapa bahagian logam sebelum membakar kesemuanya.

Penduduk Pulau Reunion mempunyai akses yang amat terhad untuk mendapatkan maklumat dari seluruh dunia dan kebanyakan mereka tidak pernah mendengar mengenai Malaysia mahupun kehilangan pesawat sehingga penemuan serpihan di pantai itu yang menggemparkan dunia.

Satu objek logam yang dikatakan mempunyai tulis bahasa Malaysia dan Cina turut ditemui di pantai itu pada Ahad tetapi ia kemudiannya dikatakan sebagai “hanya sebagai tangga”.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, serpihan itu tidak mempunyai kaitan dengan pesawat yang hilang.

“Saya yang mengetuai penyiasatan di Perancis untuk menganalisis serpihan (sayap) itu. Saya baca laporan media (mengenai serpihan baharu) merupakan sebahagian daripada pintu pesawat. Tetapi bila saya memeriksanya dengan Jabatan Penerbangan Awam, dan mereka yang berada di Pulau Reunion, ia hanya sebuah tangga.”

Kumpulan penyiasat kini terus melakukan pemeriksaan lanjut di pantai pulau itu bagi mencari lebih banyak serpihan.

Pada Rabu lalu, flaperon yang ditemui di pulau itu mencetuskan spekulasi bahawa ia merupakan milik pesawat MAS.

Flaperon itu kini dihantar di Toulouse untuk pemeriksaan oleh penyiasat dari Perancis, Amerika dan Malaysia pada Selasa.

Menurut Liow, kerajaan turut bercakap dengan pihak berkuasa penerbangan dari kawasan-kawasan berdekatan dengan Pulau Reunion.

“Ini bagi membolehkan pakar-pakar menjalani analisis yang lebih substantif sekiranya terdapat lebih banyak serpihan ditemui,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerajaan menghantar satu pasukan ke pulau itu, yang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di sana ketika ini.

Pesawat MH370 hilang bersama kesemua 239 penumpang dan anak kapal di Lautan Hindi pada 8 Mac tahun lalu.