PAC Minta WSJ Kemukakan Bukti Mengenai 1MDB

133
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mahu akhbar The Wall Street Journal (WSJ) membekalkan bukti mengenai beberapa siri dakwaannya terhadap 1MDB supaya soalan susulan boleh dikemukakan semasa soal siasat ke atas firma pelaburan negara itu.

Timbalan Pengerusi PAC Dr Tan Seng Giaw membuat gesaan apabila diminta mengulas laporan terbaru oleh akhbar harian kewangan Amerika Syarikat tersebut.

“Kita tidak boleh tanya soalan berdasarkan dakwaan sahaja. Kita hanya boleh buat susulan dengan soalan berdasarkan fakta,” katanya.

“Kita tidak tahu sumber laporan itu, bagaimana kita akan soal mereka?

“Menjadi tidak munasabah tidak boleh dijadikan cara (PAC mengendalikan soal siasat semasa prosiding),” katanya.

Oleh itu, Tan (atas, kiri) mencadangkan supaya WSJ memberi bukti bagi membolehkan PAC mengambil tindakan susulan berdasarkan fakta.

Dalam laporan terbarunya, WSJ yang memetik minit mesyuarat lembaga pengarah 1MDB mendakwa mereka menyuarakan kebimbangan sedang disiasat kerana jenayah pecah amanah dan tindakan yang menyalahi aturan kewangan.

Akhbar itu turut mendakwa 1MDB mengutamakan perbelanjaan politik walaupun aliran tunai tidak mencukupi.

Laporan itu juga mendakwa bahawa jutawan Jho Low membantu kerajaan BN mengagihkan dana 1MDB berkaitan pilihan raya umum.

Editor WSJ, Tom Wright juga mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang adalah pengerusi lembaga penasihat 1MDB memecat dua syarikat firma audit – Ernst & Young dan KPMG – selepas mereka menyoal usaha sama dengan PetroSaudi International.

Mengulas perkara ini, Tan mengesahkan bahawa kedua-dua Ernst & Young dan KPMG telah ditamatkan perkhidmatan mereka oleh 1MDB.

“Kami tahu bahawa mereka telah dipecat tetapi tiada alasan diberikan oleh mereka pada prosiding tersebut,” katanya.

Sementara itu, Tan juga mengulangi bahawa adalah sukar untuk memanggil Low kerana namanya belum terdapat dalam mana-mana rekod yang berkaitan dengan 1MDB.

“Namanya kali akhir muncul di Terengganu Investment Authority (TIA) dan bukannya 1MDB.

“Kita hanya boleh memanggil saksi itu melalui perbendaharaan. Selanjutnya, (walaupun kita memanggil Low), kita tidak tahu sama ada dia akan datang,” katanya.

“Dari segi undang-undang, kita perlu mempunyai beberapa asas sebelum memanggil saksi itu,” kata Tan.

Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin bagaimanapun enggan mengulas mengenai laporan terbaru WSJ itu.

“Bukan tugas saya untuk mengulas perkara ini,” katanya ringkas ketika dihubungi.

1MDB bagaimanapun menolak laporan terbaru WSJ yang menurutnya membuat “dakwaan tidak berasas” dan dikitar semula sejak pertengahan 2015.

Dalam satu kenyataan, semalam, syarikat itu berkata WSJ memutarkan teori konspirasi dan fitnah yang disebarkan oleh pihak pembangkang di Malaysia. – MK