Operasi MARA Digital Mall Baru Seminggu, Bukan Pengukur Tidak Berjaya – Ismail Sabri

435
0
SHARE

SHAH ALAM: Kerajaan menegaskan pengoperasian MARA Digital Mall yang baru seminggu, tidak sepatutnya dijadikan ukuran bahawa pusat pengedaran barangan digital itu tidak berjaya.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini berikutan beberapa syarikat digital terkemuka dunia juga telah memutuskan untuk membuka rangkaian perniagaan mereka di pusat digital itu.

Beliau berkata semua pihak sepatutnya tidak memperlekeh usaha kerajaan membantu meningkatkan ekonomi golongan Bumiputera menerusi pengoperasian MARA Digital Mall itu.

“Syarikat-syarikat besar seperti Apple, Samsung, Oppo dan HP (Hewlett-Packard) dijangka membuka outlet mereka penghujung bulan ini.

“Mana mungkin syarikat seperti ini mahu beroperasi tanpa menilai dahulu potensi MARA Digital Mall…pastinya mereka tahu tempat ini berpotensi besar untuk berkembang,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pihak tertentu mendakwa MARA Digital Mall yang mula beroperasi awal bulan ini, sebagai gagal.

Ismail Sabri mengingatkan orang ramai agar tidak mudah melabelkan pusat digital itu sebagai gedung perkauman kerana setiap lapisan masyarakat bebas memilih untuk membeli walaupun ia dipelopori golongan Bumiputera.

Terdahulu, Ismail Sabri, yang juga Menteri Mentor Universiti Teknologi MARA (UiTM) menghadiri Malam Penghargaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Jawatankuasa Perwakilan Kolej/Non Residen (JPK/NR) di sini.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sijil penghargaan kepada 46 bekas MPP dan JPK sesi 2014/2015 universiti berkenaan.