Operasi Cari Tujuh Murid Orang Asli Diperluas Ke Bandar Berdekatan – TPM

189
0
SHARE

Orang_Asli_Hilang_GuaMusangGUA MUSANG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Tohoi yang hilang sejak 23 Ogos lepas akan diperluaskan ke bandar-bandar kecil berdekatan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kawasan SAR diperluaskan daripada kawasan hutan hingga ke bandar-bandar kecil kerana pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan berlaku jenayah dan penculikan membabitkan murid berkenaan.

“Kita akan meliputi kawasan pencarian ini ke bandar-bandar kecil berdekatan kerana kita khuatir ada pihak yang melakukan penyembunyian kanak-kanak berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat SAR itu dan bertemu ibu bapa tujuh murid berkenaan di Sekolah Kebangsaan Tohoi di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, enam murid perempuan dan seorang murid lelaki Orang Asli berusia antara tujuh dan 11 tahun dilaporkan melarikan diri daripada asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka didapati mandi di sungai tanpa kebenaran. Mereka pada mulanya dikhuatiri tersesat di hutan.

Turut mengiringi Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri ialah Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim dan Panglima 8 Briged Infantri Brig Jen Zarondin Md Amin.