Oh Azizah! – Isyarat Dari Permatang Pauh

406
0
SHARE

“Oh nonaku Azizah, Oh nonaku Azizah” lirik lagu Azizah yang selalu dinyanyikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah cukup untuk menggambarkan pesona Datuk Seri Wan Azizah sebagai soerang isteri yang ideal.

Azizah membuktikan dirinya adalah isteri yang tahan diuji sejak 35 tahun lalu dan layaklah diberikan pengiktirafan dengan Anugerah Sayyidatina Siti Khadijah oleh Helwa, ABIM pada tahun 2013. Persoalannya adakah beliau berjaya sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan wakil rakyat sejak 1999?

Azizah yang lemah lembut memulakan langkah penuh dramatik dengan muncul sebagai aktor politik negara bagi membela pemenjaraan suaminya. Masa itu, Azizah disinonimkan sebagai jelmaan ikon prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi dan Presiden Filipina, Corazon Aquino selepas tragedi September 1998.
Sama seperti Azizah seorang ‘tokoh tragedi’ yang muncul secara tiba-tiba, Suu Kyi anak tokoh kemerdekaan Burma, Aung San yang dibunuh seteru politiknya bangun untuk melawan rejim junta tentera sementara Aquino muncul sebagai Presiden Filipina dan wanita pertama dari Asia menjadi ketua negara apabila suaminya Senator Benigno Aquino II mati dibunuh.

Bezanya, Suu Kyi yang menjadi tahanan di dalam rumah selama lebih 20 tahun dan Aquino yang menjadi wanita paling berkuasa di Filipina dari 1986 hingga 1992, tiga tahun selepas pembunuhan suaminya masih kekal diingati dan dikenang oleh rakyat Myanmar dan Filipina.

Sebaliknya Azizah selepas 17 tahun masih bergelut dengan percaturan politik yang penuh dramatik terutamanya berkait sosok dan bayangan Anwar. Azizah akhirnya hanya menjadi jelmaan Anwar di luar tirai besi. Azizah yang asalnya turut memiliki pesona seperti Tun Rahah Noah dan Tun Siti Hasmah, kini berdepan dengan kebencian dan kemarahan rakyat dan ahli partinya berikutan langkah sumbang dan tempang dalam perjalanan politiknya.

Pencalonannya sebagai Presiden bersama Anwar untuk menghalang kemaraan timbalannya, Mohamed Azmin Ali dan Langkah Kajang untuk melantik Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang pertama mewakili wanita banyak melunturkan imej Azizah yang ‘bersih’ sama seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi di awal perlantikan sebagai Perdana Menteri.

PRK Permatang Pauh kali ini akan menguji sejauh mana pesona dan aura Azizah selepas 17 tahun mampu terus bertahan. Azizah menggantikan Anwar yang telah menjadi ahli parlimen BN selama empat penggal sejak 1982 dan dua penggal sebagai ahli parlimen PKR – satu melalui PRK 2008 dan PRU 2013. Inilah cabaran terbesar Azizah untuk menarik semula undi simpati daripada kalangan 71,890 pengundi.

Jika menang, Azizah akan sekali lagi menjadi ketua pembangkang yang disandangnya selama sepenggal pada PRU-10 dan PRU-12 untuk tempoh singkat empat bulan sebelum memberikan Anwar laluan mudah untuk kembali ke arena politik perdana selepas hilang kelayakan bertanding akibat pemenjaraannya selama lima tahun.

Azizah yang menjadi ahli parlimen Permatang Pauh sejak 1999 melalui tiga PRU dan dua PRK akan sekali lagi memimpin gabungan parti PKR-PAS-DAP tetapi dengan situasi yang genting berikutan perpecahan fraksi di dalam PKR dan keretakan Pakatan Rakyat yang menanti belah. Penerimaan DAP dan PAS terhadap kepimpinan Azizah mungkin tidak akan sama seperti sokongan pada 1999.

Untuk rekod, Azizah pertama kali bertanding pada PRU 1999 dengan kemenangan majoriti 9,077 undi menentang Datuk Seri Dr Ibrahim Saad. PRU 2004 berikutnya beliau nyaris kalah dengan majoriti 590 undi dengan Datuk Pirdaus Ismail disebabkan faktor ‘Pak Lah’ yang menyaksikan PKR kehilangan semua kerusi parlimen sejak 1999 kecuali Permatang Pauh. Bagaimanapun beliau bangkit semula dengan majoriti 13,388 undi pada PRU 2008 juga menentang Pirdaus buat kali kedua dan menyaksikan gabungan PR berjaya menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) untuk pertama kali.

Apabila Anwar menggantikan Azizah dalam PRK yang disifatkan sebagai ‘Ibu Segala Pilihan Raya Kecil’, majoriti meningkat kepada 15,671 undi apabila pengundi dijanjikan Anwar bakal perdana menteri pasca 16 September 2008. Anwar menentang bekas sahabatnya yang juga Adun Seberang, Jaya Datuk Arif Shah Omar Shah. Namun majoriti tersebut kembali berkurangan kepada 11,721 pada PRU 2014 tahun lalu menewaskan Dr Mazlan Ismail.

Berbanding pesaing-pesaing Anwar dan Azizah sebelumnya, calon BN Suhaimi Sabudin bukanlah sesiapa, hanya seorang anak muda. Namun Suhaimi bukanlah musuh sebenar Azizah. Musuh sebenar Azizah ialah pengundi yang memberikannya harapan dan rasa empati sejak 1999 serta kalangan ahli serta pemimpin PR yang semakin meragui kredibiliti dan kualiti Azizah sebagai seorang wakil rakyat. Jika dahulu kekuatan Azizah ialah sokongan PAS dan DAP, kali ini ialah isu 1MDB dan GST.

Sekalipun peluang cerah untuk menang, kegagalan Azizah untuk mengekalkan momentum dan prestasi dengan kemerosotan majoriti undi yang tinggi akan dilihat sebagai penolakkan kepada legasi Anwar. Permatang Pauh adalah simbolik kepada PKR yang diasaskan daripada semangat Deklarasi Permatang Pauh pada 1998.

Untuk Pilihan Raya Umum yang akan datang, jika nasib PKR pada 2004 berulang lagi, tidak mustahil Permatang Pauh akan menjadi seperti Gua Musang yang kekal dengan imej Tengku Razaleigh Hamzah. Malah jika slogan ‘Dari Permatang Pauh Ke Putrajaya’ terus tidak menjadi, tidak mustahil Permatang Pauh yang menjadi simbol kekuatan PKR akan menjadi seperti Bali bagi Majapahit dan Taiwan bagi Kuomintang.

Masa itu, mungkin Azizah terpaksa benar-benar bersara daripada areana politik tetapi bukan untuk menjaga cucu-cicit lagi sebaliknya untuk menjaga suami. Oh Azizah!

Oleh: Faizal Riduan