Obama Mahu Ketegangan Di Laut China Selatan Dikurangkan

69
0
SHARE

WASHINGTON: Amerika Syarikat mahu negara-negara ASEAN mengurangkan ketegangan di Laut China Selatan yang tercetus akibat tuntutan bertindih ke atas beberapa buah pulau.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama berkata, dalam perbincangannya dengan 10 pemimpin Asia Tenggara itu, mereka bersetuju sebarang tuntutan bertindih ke atas mana-mana wilayah, ia perlu diselesaikan secara aman dan mengikut undang-undang.

Obama berkata, AS-ASEAN menekankan semula ketegasan komitmen mereka, bahawa sebarang perkara termasuk undang-undang antarabangsa, nilai norma dan hak semua negara perlu diambil kira.

Ia termasuk perbincangan terhadap tindakan ketara di Laut China Selatan bagi mengurangkan ketegangan termasuk menghentikan tuntutan berterusan, pembinaan baharu dan pertikaian zon tentera di kawasan tuntutan bertindih.

“Apabila ASEAN bercakap dalam satu suara yang jelas, ia boleh mengukuhkan keselamatan, peluang dan kemanusiaan. Ia bukan sahaja demi lebih 600 juta penduduk di ASEAN malah di rantau Asia Pasifik dan seluruh dunia.

“Saya berpuas hati kerana pada sidang kemuncak ini, suara ASEAN yang bersatu membolehkan kita mencapai kemajuan dalam beberapa perkara,” kata Obama.

Beliau berkata demikian pada hari terakhir Sidang kemuncak Pemimpin ASEAN di California pada Selasa.

Beberapa tindakan China ke atas beberapa pulau di Laut China Selatan mencetuskan perbincangan hangat sepanjang dua hari sidang kemuncak yang diadakan di Sunnylands.

Dalam kenyataan bersama, Obama dan 10 pemimpin dan ketua negara ASEAN turut menuntut resolusi aman dalam menyelesaikan pertelingkahan mengenai tuntutan bertindih maritim termasuk pulau, terumbu karang dan lagun.

SHARE
Previous articleJangan Bagi Derma Pada Mat Sabu – PERKASA
Next articleHos RM16 Punca PROTON Panggil Balik 94,577 Kereta