NSTP Tawar Akhbar Digital Percuma

13
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pengunjung Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU 2017) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berpeluang mendapatkan hadiah istimewa dan langganan percuma akhbar digital BH, Harian Metro serta News Straits Times (NST).

Peluang sempena PAU 2017 itu membolehkan pengunjung terutama generasi muda mendapatkan akses berita versi digital merangkumi pelbagai segmen dan ruangan dalam tiga akhbar itu selama setahun.

Akhbar digital keluaran The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) itu adalah tajaan UMNO dan diberi kepada orang ramai sepanjang PAU.

Ditawarkan sehingga Sabtu ini, orang ramai boleh mendapatkannya di di Laman Korporat PAU 2017 di aras dua berhadapan Dewan Tun Hussein Onn PWTC.

Laman Korporat PAU 2017 juga menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta dengan penyediaan maklumat penting buat rakyat.

Sejak dibuka secara rasmi semalam, laman itu menjadi tumpuan pengunjung PAU 2017, terutama yang mahu mendapatkan maklumat terkini berkaitan pertahanan, perbankan Islam, perumahan, pertanian serta pengajian tinggi.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi petang tadi melancarkan laman itu dan melawat kira-kira 10 minit bagi meninjau pelbagai paparan yang disediakan.

Antara agensi yang membuka ruang pameran termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian Pertahanan serta Tourism Terengganu.

Pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), UDA Holding Berhad, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Tabung Haji serta syarikat telekomunikasi CELCOM, yang menawarkan pelbagai perkhidmatan dan promosi bersempena PAU 2017.