Nota Urus Pekerja Bangladesh Oleh Adik Zahid Bukan Kelulusan

159
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Nota Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung permohonan syarikat Realtime Networking Sdn Bhd yang mana pengerusi eksekutifnya merupakan adik kepada Timbalan Perdana Menteri itu bukan satu bentuk arahan atau kelulusan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan pada malam Selasa berkata, nota berkenaan hanya bersifat umum memandangkan pihaknya belum melantik atau memberi kelulusan kepada mana-mana syarikat bagi menyediakan sistem menguruskan pekerja Bangladesh ke Malaysia.

Ia berkata, sehingga kini, beberapa syarikat tempatan termasuk syarikat Realtime Networking Sdn Bhd telah mengemukakan cadangan kepada kementerian untuk menyediakan sistem pengurusan pekerja asing namun kementerian belum membuat sebarang keputusan.

“Ini kerana semua cadangan dari syarikat-syarikat yang berkaitan sistem akan diteliti dan dipertimbangkan oleh jawatankuasa di kementerian terlebih dahulu, mengikut prosedur sedia ada.

“KDN belum melantik atau memberi kelulusan kepada mana-mana syarikat bagi menyediakan sistem menguruskan kemasukan secara talian pekerja Bangladesh ke Malaysia seperti yang didakwa,” jelas kenyataan itu.

KDN mengulas mengenai laporan portal berita pada Selasa mengenai nota Timbalan Perdana Menteri kepada Ketua Setiausaha kementerian terhadap permohonan syarikat Realtime Networking Sdn Bhd yang dimiliki oleh adik Zahid, Datuk Abdul Hakim Hamidi.

Dilaporkan, Zahid juga adalah Menteri Dalam Negeri, dan kelulusan bagi pekerja asing ke Malaysia adalah di bawah bidang kuasa kementeriannya.

Menurut KDN, kerajaan Malaysia dan Bangladesh akan terus berbincang bagi memastikan proses penghantaran pulang pekerja sedia ada secara tidak sah diselesaikan segera.

Kedua-dua kerajaan itu juga akan bekerjasama mewujudkan proses pengambilan pekerja baharu secara berperingkat serta dilaksanakan dengan cara telus dan teratur, termasuk menggunakan kaedah pengurusan pekerja asing secara atas talian.

“Dalam hal ini, kerajaan akan menimbangkan untuk melibatkan beberapa pihak yang mempunyai kepakaran berkaitan bagi membantu melancarkan operasi agensi kerajaan bagi tujuan tersebut,” katanya.