Noh Omar Nafi Peserta Himpunan Baju Merah Kecoh Di Jalan Petaling

198
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar menafikan terdapat peserta Himpunan Rakyat Bersatu atau ‘baju merah’ yang terlibat dalam kekecohan di Jalan Petaling semalam, lapor Berita Harian.

Noh mendakwa, kekecohan tersebut berpunca daripada cubaan pihak luar dan mereka yang terbabit bukan penyokong sebenar perhimpunan baju merah.

“Itu cubaan daripada pihak luar untuk menimbulkan kekecohan di sekitar lokasi tumpuan.

“Peserta kita semua berada di sini…tidak ada yang berkumpul di Jalan Petaling,” katanya semalam.

Noh berkata, himpunan itu berlangsung dengan aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini kecuali di Jalan Petaling.

“Kita minta polis siasat siapa yang bertanggungjawab dalam kejadian itu.

“Terdapat dakwaan memaklumkan tindakan itu bukan oleh penyokong sebenar Himpunan Rakyat Bersatu, sebaliknya individu yang ingin menimbulkan kekecohan dan memburukkan perhimpunan ini,” katanya.

Kekecohan tersebut menyebabkan Komander Operasi Polis Abdul Wahid mengesahkan 3 anggotanya cedera akibat dirempuh sekumpulan individu berbaju merah di Jalan Petaling pada jam 4.45 petang.

Berikutan itu, katanya, polis terpaksa melepaskan bom air untuk meleraikan kumpulan itu daripada terus merempuh sekatan dan menceroboh kawasan perniagaan sepanjang Jalan Petaling.

“Pihak kami terpaksa memanggil ketua Umno bahagian Sungai Besar merangkap pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia, Datuk Jamal Yunus untuk meleraikan kumpulan itu,” katanya. – INSIDER