Noh Dakwa Kerajaan Selangor Pinggir Pendakwah

149
0
SHARE

Oleh: Fadhil Daud

SHAH ALAM: Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan, Datuk Seri Noh Omar mengkritik kerajaan Selangor berhubung pemberian elaun kepada golongan pendakwah selain turut mengabaikan imam masjid, guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa), Program Kelas Takmir dan Penyelaras Masjid Daerah sehingga menyebabkan golongan terbabit terpinggir.

“Kata Selangor banyak duit, ada lebihan keuntungan, tetapi kenapa bagi elaun gaji untuk para pendakwah atau ‘sosial engineer’ di negeri ini sedikit berbanding Kerajaan Persekutuan?

“Saya tak nampak kerajaan negeri Selangor sekarang ini membela para pendakwah Islam sedangkan mereka ini adalah ‘social engineer’ kerana tugas mereka melahirkan modal insan untuk negara,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah (PPMD) dan Penyelia Kafa Negeri Selangor, petang tadi.

Kata Noh, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyalurkan peruntukan setiap tahun termasuk di Selangor bagi membiayai elaun golongan tersebut.

“Walaupun mereka ini dilantik kerajaan Negeri Selangor, tetapi Kerajaan Persekutuan yang memberi elaun gaji lebih tinggi seperti seorang guru Kafa di Selangor akan menerima RM800 sebulan, berbanding hanya RM700 yang diberikan oleh kerajaan negeri Selangor,” katanya lagi.

Sementara itu, Kerajaan Persekutuan menerusi Jakim memperuntukkan RM1.2 juta untuk membayar elaun kepada 121 orang guru takmir setahun manakala RM75,600 untuk membayar elaun 9 orang pegawai Penyelaras Masjid Daerah.