Negara Tanpa Autoriti Agama

37
0
SHARE

Oleh: S.M. Zakir

Di Malaysia hari ini terdapat golongan yang mengaku pembaharu Islam, cuba melakukan rekonstruksi atau pembaharuan terhadap norma umum cara hidup Islam yang diamalkan selama ini di Malaysia. Pembaharuan ini kononnya perlu atas nama penyesuaian terhadap zaman demokrasi liberal abad ke-21. Ia cuba menjadi gah dengan mengemukakan pandangan atau fikiran yang kononnya baharu dan drastik dalam mengubah norma umum yang beku atau jumud. Tetapi pandangan pembaharuan ini tidak lebih daripada menyalin semula apa yang pernah dikemukakan oleh golongan modenis-reformis pada zaman akhir kolonialisme. Penyalinan ini amat ketara dengan ‘membukukan’ semula apa yang ditulis dahulu, dan menghidup semula ‘mayat’ yang telah mati. Lalu tidak apa-apa yang baharu dalam pandangan golongan ‘pembaharu’ ini sebenarnya.

Mereka mencuplik sisi pandangan Abduh dan melihatnya secara sempit, mengangkat kembali pandangan Arkoun, Qasim Amin, Sayid Ahmad Khan dan modenis seangkatan yang fikiran mereka telah menjadi mayat yang beku. Sebahagian pandangan tokoh pembaharu Islam lain pula dikutip secara ‘selected bias’ untuk membenarkan pandangan mereka dalam isu semasa di Malaysia. Dalam pada itu mereka mengekor mana-mana pandangan dari golongan pascamodenis Islam yang juga tidak lebih menyalin fikiran yang telah menjadi mayat. Kegemaran mereka ialah menyerang apa yang mereka labelkan sebagai konservatif dan despotik agama di Malaysia. Kita mengakui adanya kelemahan daripada pihak autoriti agama dalam soal-soal tertentu, tetapi dalam banyak hal amalan dan tindakan pihak autoriti agama di Malaysia tidak pernah lari daripada kuasa yang diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan.

Islam di Malaysia dalam konteks autoriti agama tidaklah berkembang sepertimana Talibanisme dan Daeshisme, malah jauh sekali untuk mendekatinya pun. Namun provokasi dan propaganda yang dilakukan oleh golongan pembaharu Islam kononnya ini, dan golongan liberal yang sebenarnya lebih kepada pseudo liberal memperlihatkan Islam di Malaysia telah menjadi Talibanisme dan Daeshisme. Ini sebenarnya sama sekali dakyah yang salah dan tidak bertanggungjawab. Islam di Malaysia dengan pentadbiran pihak autoriti agama amat jelas tertakluk dan mengikut undang-undang yang digubal untuk hidup dalam masyarakat yang majmuk. Islam di Malaysia jauh lebih harmoni, terbuka, adil dan saksama dalam aturan serta pelaksanaan aturannya. Tidak wujud pesalah agama di Malaysia dihukum mati, malah tidak pernah pun menjalani hukuman penjara mandatori apatah lagi dihukum tanpa pengadilan. Tindakan pencegahan oleh pihak agama di Malaysia tidak pernah pun melaksanakan sebarang hukuman penjara mandatori.

Lalu apakah sebenarnya tentang Islam di Malaysia yang ingin diperbaharui. Soal-soal khilafiah dan pandangan tertentu tidaklah pernah menjadi hukum yang dilaksanakan, melainkan mengikut lunas undang-undang, bahkan dibenarkan untuk dicabar di ruang pengadilan. Istilah despotik yang dilabelkan terhadap pihak autoriti agama di Malaysia, bukan sahaja salah dan jauh daripada ketepatan maknanya malah seperti tidak memahami definisi despotik itu sendiri. Pandangan tokoh agama dan pihak autoriti agama di Malaysia bebas diperdebatkan, malah tidak pernah ada halangan dan hukuman terhadap mana-mana pihak yang sehingga kini galak memperdebatkannya. Islam di Malaysia sangat terbuka, dan pandangan yang mungkin dilihat ekstrem bukanlah ekstrem dalam ertikata sebenarnya. Pandangan yang seekstrem mana pun di Malaysia tidak pernah mencetuskan keganasan dan kehuruharaan, malah selalunya hanya ternoktah di polemik media sahaja. Kawalan terhadap ekstremisme agama di Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia. Ini sangat terbukti.

Terdapat pandangan yang kerapkali kedengaran sekarang ialah negara tidak harus atau tidak berhak melibatkan diri dalam agama. Dalam kata lain negara tidak boleh menghukum atas nama agama. Persoalan agama dan moral adalah persoalan individu. Maka negara tidak boleh campurtangan dalam soal Islam, sama ada mencegah serta menghalang perbuatan dan perlakuan yang melanggar hukum Islam, atau mendokong atau membantu perkembangan agama Islam. Persoalan ini ditimbulkan oleh orang Islam sendiri, atas dasar liberalisasi agama dan amalan kepercayaan. Objektifnya sangat tidak jelas, untuk akhirnya ia menuju ke mana. Memaju dan memperkuatkan Islam atau menenggelamkan dan menghancurkan Islam itu sendiri. Sehingga hari ini ia tidak pernah menjelaskan secara objektif dan konstruktif pandangan ini dapat mendirikan Islam yang kuat di Malaysia ini.

Jika pandangan ini datang daripada golongan bukan Islam kita boleh menerimanya sebagai tuntutan terhadap kepentingan golongan bukan Islam. Tetapi jika pandangan ini datang daripada golongan Islam sendiri, kita tidak tahu apakah sebenarnya perjuangan mereka untuk pembaharuan Islam. Pembaharuan tentunya usaha untuk menjadikan Islam itu maju, kuat dan tinggi. Tetapi menutup dan menghapuskan ‘usaha’ memelihara Islam melalui negara, tidak kelihatan sebarang kebaikan untuk memajukan Islam. Di sini timbul kekeliruan tentang makna ‘pembaharuan’ dan ‘kaum pembaharu’ itu sendiri. Negara atau kerajaan dalam konteks Islam jika menurut pandangan Ibnu Khaldun adalah pagar yang melindungi tanahnya, dan melahirkan apa yang disebut sebagai mudun. Dari sini timbul perkataan tamadun. Pusat negara dan tamadun adalah berpaksi kepada negara yang berfungsi sebagai penjaga agama Islam. Tidak ada negara dalam konteks kefahaman Islam yang beragama rasmi Islam dan dipimpin oleh orang Islam, tidak berfungsi untuk memelihara Islam dengan aturan dan peruntukan undang-undang.

Jika dilihat daripada pandangan liberal klasik, terutama daripada Leviathan Thomas Hobbes, manusia secara semulajadinya sendirian, buruk, jahat, kasar dan pendek usia. Maka manusia dengan sifat semulajadi tidak dapat dikawal dan bersikap memusuhi seperti yang dikatakan Hobbes “warre of every man against every man”. Maka perlunya negara yang muncul sebagai raksasa Leviathan bukan sahaja untuk melindungi rakyat dari ancaman luar tetapi juga mengawal sifat dan sikap manusia yang semulajadinya buruk itu. Hal ini jelas menunjukkan kepercayaan liberal klasik terhadap fungsi negara untuk mengawal ‘tabiat semulajadi’ dengan melestarikan nilai komunal yang perlu dipatuhi oleh semua orang di dalam negara. Jika mana-mana individu atau pihak melanggarnya maka negara berfungsi untuk mencegah dan menahan, malah membasminya. Jadi di sini negara dalam fahaman liberal klasik turut berfungsi sebagai penjaga nilai, dan berhak campurtangan dengan penguatkuasaan, aturan dan undang-undang dalam melestarikan nilai komunal tersebut.

Islam juga dari sudut kemasyarakatan adalah nilai komunal yang dilestarikan untuk manusia yang semulajadinya buruk dan cenderung berperilaku tidak baik. Maka negara di sini berfungsi untuk melestarikan nilai yang baik dalam masyarakatnya, sekaligus mencegah perkara-perkara buruk daripada berleluasa. Maka jika pihak yang mengaku mereka pembaharu Islam bercakap tentang negara tidak mempunyai autoriti terhadap agama, mereka sebenarnya tidak memahami definisi dan konteks negara baik dari sudut pandangan Islam mahupun dari sudut fahaman liberal yang dipegang oleh mereka sendiri. Timbul keraguan bahawa golongan ini apakah hanya kaum pseudo pembaharu dan pseudo liberal sahaja?