Negara Rugi RM6 Billion Hasil Laut Setiap Tahun

16
0
SHARE

Oleh : Eyza Nordin

PUTRAJAYA: Ketirisan penguatkuasaan menyebabkan negara kehilangan sumber perikanan sebanyak 980,000 tan metrik yang dianggarkan bernilai antara RM3 billion hingga RM6 billion setiap tahun akibat pencerobohan oleh nelayan negara jiran.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Dato’ Munir Mohd Nawi, “Hanya 50 peratus ikan ditangkap di perairan negara didaratkan di Malaysia, selebihnya ditangkap dari perairan EEZ Malaysia tidak dilaporkan dan ini bermakna berlaku pecerobohan oleh nelayan asing.”

Tambahnya lagi, dari tahun 2016 hingga kini, sebanyak 256 kes tangkapan bot asing dengan nilai rampasan dianggarkan RM180 juta telah dilaksanakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan kerjasama DOF dan Pasukan Polis Marin.

“Seramai 2,199 kru nelayan bot asing ditahan dari pelbagai negara seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand.

“Melalui Sistem Pemantauan Vesel (VMS), DOF telah mengesan  128 buah vesel asing yang menceroboh perairan Malaysia dan 433 kes vesel tempatan ke luar perairan perikanan negara tanpa kebenaran,” jelasnya mengulas tindakan tegas DOF membatalkan 472 lesen vesel kerana melanggar Akta Perikanan 1985.

Malaysia juga tambahnya memberikan komitmen untuk membanteras aktiviti perikanan secara haram dengan memasang alat Sistem Pengenalan Automatik (AIS) keatas 2,630 buah vesel pukat tunda selain penyertaan dalam Pelan Tindakan Serantau dan Kumpulan Kerja Sektor Perikanan ASEAN.