Negara Kini Kelam-Kabut Dan Membimbangkan – Pak Lah

1408
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi mengakui bimbang dengan keadaan politik negara yang dilihat semakin berkecamuk hari ini.

Abdullah yang lebih mesra dengan gelaran Pak Lah berkata keadaan negara, seperti menjadi kelam-kabut, tidak tentu arah dan masing-masing bergaduh sesama sendiri kerana semua orang mahu mengeluarkan idea masing-masing.

“Keadaan begini menimbulkan dalam kebimbangan kalangan kita, perkara yang tidak menyedapkan hati. Saya pergi ke kedai atau ke mana-mana, ditanya juga tentang keadaan sekarang,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Utusan Malaysia edisi Ahad Mingguan Malaysia hari ini.

Abdullah turut mengakui beliau pernah menegur Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila bertemu dengannya, berhubung perkara yang menyebabkan penurunan sokongan rakyat kepada kerajaan.

“Pemimpin mestilah kuat, teguh, dan meyakinkan. Kalau ketiga-tiga ciri ini tidak ada, habislah dan akan longgarlah parti.

“Apa yang harapkan adalah kekuatan dalam menguruskan hal kepimpinan dan pengurusan parti kita. Kepimpinan juga perlu pandai mengawal ahli supaya tidak lari,” katanya ketika mengulas mengenai kelemahan ahli Umno dan penyokongnya dalam menangkis tohmahan yang dilemparkan melalui media sosial.

Bekas presiden Umno itu turut mengulas mengenai keputusan rombakan Kabinet baru-baru ini yang mencetuskan kemarahan rakyat, dengan menasihatkan pucuk pimpinan perlu memainkan peranan mereka dalam mengatasi hal tersebut, jika tidak, Umno kemungkinan akan lingkup dalam masa seminggu.

“Bagi saya, apa yang berlaku, walaupun ahli ada yang marah dan menyampah dengan keadaan ini, kepimpinan Umno mesti mengambil tahu perkara ini. Tidak boleh melupakan situasi yang sedang berlaku dan perlulah bersedia dan mengambil tahu sepanjang masa.

“Kalau pucuk pimpinan buat tidak tahu, seminggu pun Umno boleh lingkup. Kepimpinan parti perlulah kuat dan janganlah hanya harapkan kepada orang lain. Kita sendiri perlu mencorakkan parti kita,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut menasihatkan pemimpin yang digugurkan dalam Kabinet tidak merajuk, meradang dan menyumpah.

“Saya sendiri tidak merajuk ketika saya dibuang dulu. Walaupun saya dibuang ketika itu, saya tetap berkempen seperti yang berlaku ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Raja, Johor (1988). Perjuangan saya tetap dan telus bersama Umno,” katanya.

Sementara itu, Pak Lah berkata kehidupannya bebas tekanan daripada segi politik, ekonomi, dan sosial selepas bersara.

“Orang tidak tahu tekanan sebagai perdana menteri,” katanya.

Namun, selepas beliau melepaskan jawatan sebagai perdana menteri, beliau mengharapkan agar Najib melakukan perkara yang lebih baik daripadanya.

Abdullah berkata demikian ketika ditanya mengapa beliau tidak mendesak Najib meletakkan jawatan, walaupun ketika beliau mentadbir negara terdapat pihak yang menggesanya berbuat demikian.

“Ketika itu, saya ada buat beberapa perbincangan yang panjang dengan Najib. Saya buat keputusan untuk letak jawatan ketika itu dan saya cakap Najib perlu ambil alih jawatan tersebut.

“Saya pilih Najib untuk jadi perdana menteri dan berharap beliau menjadi ketua yang baik. Saya harap dia melakukan kerja dan sesuatu lebih baik daripada apa yang saya lakukan. Itulah yang saya harapkan daripada beliau.

“Saya akan merasa gembira sekiranya beliau berjaya melakukan sesuatu yang lebih daripada saya. Saya tidak cemburu dan sakit hati. Saya hanya mahu beliau melakukan kerja yang bagus.

“Saya tidak mahu beliau fikir tentang saya kerana hanya mahu beliau lakukan kerja yang sepatutnya,” katanya.

Selepas keputusan buruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak Abdullah untuk meletakkan jawatan.

Selepas ditekan hebat, Abdullah akhirnya meletakkan jawatan pada 2009 untuk memberi laluan kepada Najib.