Nazri-Tun M Akhirnya Bersemuka

41
0
SHARE

KUALA KANGSAR: Datuk Seri Nazri Aziz dan Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya bersemuka pada Sabtu walaupun bukan menerusi pentas debat.

Sebaliknya Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan serta Dr Mahathir selaku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengadakan pertemuan mesra sambil menikmati hidangan tempatan.

Pertemuan mereka itu dikelilingi orang ramai yang tidak putus-putus merakamkan detik berkenaan.

Dr Mahathir tiba di lokasi tersebut bagi menghadiri program PPBM di Lembah Sungai Perak di sini bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan anak mereka Datuk Seri Mukhriz Mahathir kira-kira pukul 4.25 petang.

Walau bagaimanapun, Nazri dan Dr Mahathir kelihatan kurang berbual antara satu sama lain walaupun duduk bersebelahan.

Ketika Dr Mahathir perlahan-lahan menghabiskan semangkuk laksa yang dihidangkan kepadanya, Nazri dilihat asyik berbual dengan individu lain yang duduk di sebelahnya.
Mereka kemudian beredar sekitar pukul 5 petang.

Terdahulu, Nazri hadir di Maktab Rendah Sains Mara Sultan Azlan Shah di sini pada pukul 1 tengah hari untuk mengalu-alukan kedatangan bekas Perdana Menteri itu bersama-sama dengan beberapa penyokongnya.

Menunggu di bawah payung besar dalam keadaan panas dan berpeluh, Nazri berkata beliau sengaja hadir lebih awal bagi menunggu ketibaan Dr Mahathir.

“Saya tahu beliau akan berada di sini di Kuala Kangsar.

“Saya tidak mahu penyokongnya tiba lebih awal daripada saya dan mengambil gambar dengan mengatakan bahawa saya adalah seorang pengecut kerana tidak berada di sini,” katanya.

Nazri berkata dalam budaya Melayu, ia adalah amalan yang tidak baik jika tetamu tiba tanpa disambut tuan rumah.

“Saya mahu menjadi tuan rumah yang baik kepadanya dan tunggu dia sampai,” katanya.
Nazri kemudian menuju ke Lembah Sungai Perak pada pukul 4 petang selepas diberitahu bahawa Dr Mahathir berada di sana.

SHARE
Previous articlePAS Bergerak Sendiri Hadapi PRU14 – Hadi Awang
Next articlePRU14: Nazri Pelawa Pembangkang Bertanding Di Padang Rengas