Nazri Pertahan Najib, Derma RM2.6 Bilion Dari Negara ‘Bersaudara’

553
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Nazri Aziz menyifatkan bahawa adalah tidak adil untuk menghukum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mengambil derma politik.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata, semua parti politik menerima derma dan ia menjadi ‘double standard’ sekiranya mahu memburukkan Perdana Menteri kerana hal berkenaan.

Beliau berkata, derma berjumlah RM2.6 bilion itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib adalah dari ‘negara bersaudara’ dan ia tidak akan membuatkan negara di bawah pengaruh Timur Tengah.

“Saya mahu mengingatkan semua parti politik… jangan tipulah kata mereka tak terima derma.

“Sebagai contoh, hanya untuk bertanding bagi kerusi parlimen, ia melibatkan kos RM5,000. Bayangkanlah 100 kerusi,” katanya Nazri yang mempersoalkan di mana parti-parti politik memperoleh dana mereka untuk bertanding sekiranya ia bukan daripada para penyumbang.

Beliau berkata, menyalurkan RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib adalah lebih “telus”.

“Berbanding mengambil derma dalam tunai atau meletakkannya dalam Swiss Bank. Ini adalah lebih telus.

“Hanya buat semakan menggunakan komputer dan semua transaksi boleh diperoleh,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pengisytiharan Warisan Kebangsaan di Muzium Negara di sini, Selasa.

Dalam pada itu, Nazri merujuk kepada peruntukan undang-undang berhubung sumbangan.

“Seperti di AS (Amerika Syarikat), bila mereka terima derma, ia akan didaftarkan. Semua tahu jadi tiada isu,” katanya, sambil menambah bahawa Malaysia perlu mempunyai sistem seumpama itu.