Nazri Cabar Tun M Tanding Lawan Najib Di Pekan

490
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Nazri Aziz hari ini mencabar Tun Dr Mahathir Mohamed untuk merebut kerusi Parlimen Pekan daripada Datuk Seri Najib Razak dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang bagi merealisasikan usaha beliau menjatuhkan perdana menteri.

Malah menteri pelancongan dan kebudayaan itu berkata, bekas perdana menteri itu juga dialu-alukan bertanding merebut kerusi beliau di Padang Rengas, Perak.

“Cara nak jatuhkan Najib, lawanlah beliau di Pekan. Jangan cakap banyak. Anda tahu bagaimana mahu jatuhkan (Najib). Lawan beliau di Pekan.

“Kalau tidak mahu lawan Najib, lawan saya di Padang Rengas,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Dr Mahathir sering mengkritik Najib dan meminta beliau meletak jawatan berhubung skandal yang didakwa melibatkan salah urus dalam syarikat yang diilhamkan beliau, dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta wang RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu juga mula menuduh Najib bertindak sebagai diktator dan tidak demokratik dalam penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 terhadap pengkritik 1MDB.

Nazri sebelum ini pernah mencabar Dr Mahathir menentang Najib dalam kedua-dua pilihan raya umum dan pemilihan parti. – INSIDER