Nallakaruppan Mahu Saman Tun M

1876
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Senator Datuk Seri S Nallakaruppan bercadang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Dewan Negara itu berkata, langkah tersebut adalah bagi menuntut ganti rugi terhadap segala kerugian yang dialaminya ketika dipenjara pada tahun 1998.

Dakwanya, perbuatan Dr Mahathir telah menyebabkan beliau kehilangan tiga jawatan pentingnya iaitu Pengarah Eksekutif Perhubungan Awam Magnum, Pengarah Kamunting Corporation Bhd. dan Pengarah Malaysian Plantations Bhd. setelah dipenjara.

“Saya mahu menuntut ganti rugi terhadap segala kehilangan yang saya telah alami akibat perbuatan Tun M, termasuk dia memusnahkan periuk nasi saya pada ketika itu.

“Tun M sepanjang pemerintahan selama 22 tahun, menyebabkan saya merana, kini beliau mula berpakat dengan pembangkang untuk memusnahkan negara.

“Saya harap bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak terperangkap dalam lakonan Tun M itu,” katanya yang dipetik dari laman portal Malaysiagazette dan diterjemahkan dari akhbar Makkal Osai.

Dalam pada itu, beliau mendakwa Dr Mahathir kini terdesak mahu memastikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz menjadi Perdana Menteri apabila terus mengutuk kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ini.

“Oleh kerana Dr. Mahathir tidak sukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau kawan baik Anwar pada ketika itu, saya telah ditangkap dan dipenjarakan hanya untuk memusnahkan karier Anwar, bukannya atas tuduhan memiliki peluru pistol tanpa permit.

“Selepas itu saya diputuskan tidak bersalah dan dibebaskan, namun apa gunanya sedangkan segala jawatan dan mata pencarian saya musnah,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan sedang berbincang dengan barisan peguamnya untuk mengambil tindakan saman terhadap Dr Mahathir dengan tidak berganjak dengan pendiriannya.