Najib, Zahid Kirim Salam Pada Peserta Baju Merah

239
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengirim salam kepada peserta himpunan baju merah yang berkumpul di Padang Merbok hari ini.

Perkara itu diumumkan Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa sewaktu berucap dan menangguhkan perhimpunan ini sekitar 5.20 petang tadi.

“Saya baru dapat panggilan daripada perdana menteri yang berkirim salam kepada semua.

“Perdana menteri dan timbalan perdana menteri yang berada di Sabah melahirkan rasa terkejut dengan perhimpunan aman sebesar ini,” kata Annuar dalam ucapannya.

Kiriman salam itu ibarat pengiktirafan daripada dua personaliti utama Umno sewaktu Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal secara terang-terangan menolak himpunan hari ini.

Muhyiddin menyeru orang Melayu agar tidak menyambut Hari Malaysia dengan himpunan berbaur perkauman sementara Shafie pula menyifatkan himpunan hari ini mencemarkan sambutan Hari Malaysia.

Sementara itu dalam ucapannya, Annuar turut mengisytiharkan ia berjaya menghimpunkan sekurang-kurangnya 250 ribu orang peserta.

“Kesemuanya bergerak ke arah Padang Merbok tetapi malangnya tak sempat sampai ke mari tetapi jiwa dan semangat mereka tetap bersama kita.

“Ini adalah perhimpunan aman dan kita patuh pada semua arahan pihak berkuasa pada kita,” kata Annuar.

Beliau kemudian membacakan resolusi himpunan yang antara lain menyatakan sokongan penuh kepada kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya dan mengesa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikembalikan. – INSIDER