Najib Yakin Tiada Sahabat Akan Khianat UMNO

126
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melahirkan kesyukurannya kerana sahabat-sahabat dan teman-teman seperjuangan sezaman Pemuda Umno dahulu sempat bersamanya dalam satu majlis di Putrajaya, petang semalam.

Beliau yang kini terpalit dengan isu dana RM2.6 bilion yang berada di akaun bank peribadinya dan juga skandal 1MDB berkata beliau tersentuh hati melihat kehadiran mereka dari seluruh negara untuk meluangkan masa bersamanya.

Najib kini bukan sahaja diasak oleh pihak pembangkang yang menuntut beliau bertanggung jawab dan meletakkan jawatan tetapi kempen itu turut dianggotai Tun Dr Mahathir Mohamad dan timbalan presiden Umno yang digantung jawatannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Inilah sahabat-sahabat yang saya boleh bergantung harap untuk mempertahankan saya bukan sahaja sebagai Presiden Umno tetapi juga sebagai seorang sahabat yang telah dikenali berpuluh tahun lamanya,” katanya di blog NajibRazak.com.

Menurut perdana menteri, ada yang kini masih aktif dalam dunia politik dan kerjaya, ada pula yang telah lama bersara.

Katanya, salaupun kebanyakan daripada mereka kini berada dalam dekad ke-60 hidup di dunia ini, tetapi semangat mereka mempertahankan, menegakkan dan meneruskan perjuangan parti Umno tidak pernah sedikit pun luntur.

“Nilai yang ada antara saya dan sahabat-sahabat saya ini bukan nilai material, tetapi nilai persahabatan yang ikhlas, tidak boleh dijual beli. Kami setia bersama dalam apa jua keadaan.

“Saya percaya tidak ada dalam kalangan sahabat-sahabat saya ini yang akan lari atau khianat terhadap sumpah setia kita sebagai ahli parti Umno yang kita kasihi,” katanya.

Dr Mahathir sedang menerajui gerakan Deklarasi Rakyat bagi Selamakan Malaysia yang antara lain menuntut Najib berundur dan supaya kerajaan melakukan pembaharuan institusi.

Gerakan itu dikatakan mendapat sokongan akar umbi Umno walaupun sebahagian besar masih tidak berani tampil secara terbuka kerana takut mendapat musibah seperti yang berlaku ke atas Muhyiddin yang dipecat sebagai timbalan perdana menteri, tahun lalu.

Najib juga mengingatkan ahli Umno tidak kira apa pun yang berlaku, mereka wajib menjaga Umno demi generasi akan datang.

“Macam mana pun, walau apa pun yang berlaku, kita nak jaga parti Umno keramat kita ini dan tanah air kita untuk generasi akan datang, untuk anak-anak dan cucu-cucu kita.

“Insya-Allah, sama-sama kita kekalkan tali silaturrahim yang telah terjalin sekian lama, terus setia dalam persahabatan, ikhlas dalam perjuangan dan sumpah setia kita untuk Umno, untuk bangsa dan untuk negara,” katanya.