Najib Utamakan Kerjaya Peribadi Berbanding Rakyat – PKR

478
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tentang perhimpunan baju merah adalah demi mempertahankan maruah Melayu, umpama menjadikan komuniti bukan Melayu sebagai “kambing hitam”, kata PKR.

Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kenyataannya itu juga merupakan satu penghinaan kepada kaum Melayu dan tidak menggambarkan Islam sebagai rahmat kepada sekalian alam.

“Walau apa sekalipun, sebenarnya tindak-tanduk beliau serta kegagalan kerajaan yang mencalarkan reputasi Melayu, bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Exco Selangor berkata, pemimpin Umno bersifat sederhana seperti Khairy Jamaluddin, perlu menyatakan pendirian berhubung perkara itu.

“Ahli-ahli ‘sederhana’ Umno, seperti Khairy, haruslah menyatakan pendirian di dalam hal ini, sama ada mereka setuju dengan pendapat perdana menteri.

Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pemimpin Umno bersifat sederhana seperti Khairy Jamaluddin, perlu menyatakan pendirian dan menyatakan sama ada mereka menyokong pendapat Najib.

“Kesemua masyarakat Melayu tidak kira di mana, haruslah sedar Najib hanya mementingkan diri,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia itu berkata, cita-cita peribadi Najib itu tidak seharusnya disokong rakyat Malaysia.

“Mereka haruslah sedar masa depan agama, bangsa dan negara, tidak seharusnya disandarkan pada cita-cita seorang opportunis politik, tetap pada penyatuan setiap masyarakat Malaysia, hanya itulah yang mampu menggerakkan kita maju ke hadapan.

“Setiap rakyat Malaysia juga mestilah menolak politik kotor untuk menakut-nakutkan kita, dan mengamati perubahan politik yang positif kepada negara,” katanya.

“Kita tidak boleh terus tunduk tatkala keadaan sebegini.”

Najib sebelum ini mengucapkan tahniah kepada penganjur Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) atas kejayaan menganjurkan himpunan baju merah tersebut secara aman tanpa melanggar undang-undang negara.

“Saya ucapkan tahniah pada semua berhimpun pada 16 September kerana kita berhimpun dalam keadaan aman.

“Tidak perlu khuatir kerana tidak ada sepanduk yang menghasut kaum lain, tidak ada gambar keris terbang, tidak ada gambar pemimpin pembangkang dipijak, semua ini tidak ada,” katanya semasa berucap dalam Himpunan Silat Pesaka Merdeka di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Najib mengingatkan keamanan dalam negara yang dikecapi selama ini adalah kerana sikap adil dan bertimbang-rasa kaum Melayu, serta memberi amaran supaya maruah orang Melayu tidak dicarik-carik.

“Kita hidup dalam sebuah negara yang semakin hari semakin aman dan semakin makmur sebab orang Melayu sentiasa bertimbang-rasa kepada orang lain, orang Melayu bersikap adil dari dulu sampai sekarang, dia adil sesamanya dan adil dengan kaum yang lain.

“Ini orang Melayu, tapi jangan carik-carik maruah orang Melayu,” katanya. – INSIDER