Najib Tiba Di Milan Untuk Lawatan Kerja

147
0
SHARE

MILAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di sini hari ini untuk mengadakan lawatan kerja tiga hari bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan Itali.

Ketibaan beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Lapangan Terbang Linate di sini pada 8.30 pagi waktu tempatan (2.30 petang waktu Malaysia) disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Itali, Datuk Abdul Samad Othman.

Sebelum ini, Najib berada di New York, Amerika Syarikat untuk menghadiri Sesi Ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Turut mengiringi perdana menteri dalam lawatan ini ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

Tahun lepas, Perdana Menteri Itali, Matteo Renzi mengutuskan jemputan rasmi kepada Najib untuk menghadiri Expo Milano 2015 yang juga ekspo terbesar dunia yang diadakan empat tahun sekali secara giliran.

Malaysia ialah antara 147 negara yang menyertai ekspo enam bulan itu yang bermula pada 1 Mei hingga 30 Oktober ini. Pada pagi Sabtu (waktu tempatan), Najib dijadual menghadiri resepsi Hari Malaysia di Expo Milano 2015 yang dianjurkan oleh penganjur ekspo berkenaan.

Beliau kemudian dijadual melawat Pavilion Itali di ekspo itu. Pada sebelah malam, perdana menteri akan melancarkan Festival Makanan Malaysia di Pavilion Malaysia pada ekspo itu.

Rosmah pula dijadual melancarkan pertunjukan fesyen 18 pereka fesyen Malaysia pada ekspo itu yang diharap menjadi platform untuk mengetengahkan hasil rekaan pereka fesyen tempatan di bandar raya ini yang terkenal sebagai kota fesyen. Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Itali pada 2014 hampir mencecah RM9 bilion yang meliputi sektor keselamatan, dagangan am, kimia, jentera, elektronik dan elektrikal serta bahan logam.

Malaysia banyak mengimport barangan bernilai tinggi daripada Itali termasuk helikopter. Itali adalah negara Eropah kelima terbesar yang mempunyai hubungan perdagangan dengan Malaysia.

SHARE
Previous articleJerebu: Penternak Dan Petani Rugi
Next articleNajib Turun, Ringgit Naik – Tun M