Najib Tiba Di Manila Untuk Hadiri Mesyuarat APEC

100
0
SHARE

MANILA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-23.

Ketibaan beliau di Lapangan Terbangsa Antarabangsa Ninoy Aquino diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan disambut olehMenteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan, serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Presiden Filipina Benigno S.Aquino III, akan mempengerusikan sidang kemuncak dua hari itu bermula esok, yang didahului dengan Mesyuarat Menteri-Menteri APEC ke-27 dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan APEC ke-27.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, akan mengadakan beberapa mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatan di luar acara Sidang Kemuncak itu, untuk membincangkan isu-isu dua hala, serantau dan pelbagai hala bagi kepentingan bersama.

Antara pemimpin utama yang Perdana Menteri dijadualkan bertemu di sini ialah Presiden China Xi JinPing pada hari ini, diikuti dengan Perdana Menteri New Zealand John Phillip Key dan Presiden Vietnam Truong Tan Sang.

Pada Sesi Pemukiman Pemimpin pada 19 Nov, para pemimpin daripada 21 ekonomi APEC akan membincangkan keutamaan 2015 APEC seperti yang ditetapkan oleh Filipina.

Bertemakan “Membina Ekonomi Inklusif, Membina Dunia Lebih Baik”, perbincangan akan memberi tumpuan kepada dua sesi iaitu Pertumbuhan Inklusif melalui Ekonomi Bersepadu serta Pertumbuhan Inklusif melalui Komuniti Mampan dan Berdaya tahan.

Pada pemukiman pertama, para pemimpin akan membincangkan visi untuk integrasi ekonomi serantau berdasarkan ekonomi Asia Pasifik, memandangkan ekonomi masing-masing mempunyai tahap pembangunan yang berbeza dan dasar domestik.

Sementara itu, pada pertemuan kedua, pemimpin juga akan memberi tumpuan kepada dimensi manusia dan masyarakat kerja APEC seperti tindakan untuk menangani jurang pendapatan dan ketidakadilan, akses kepada makanan, air dan isu-isu lain.

Sidang kemuncak tahunan ini dianggap sebagai salah satu platform utama untuk membincangkan kerjasama ekonomi serantau, perdagangan dan pelaburan yang  pada masa yang sama boleh mengukuhkan hubungan dua hala antara negara-negara anggota.

SHARE
Previous articleDakwaan ‘Vape’ Ganja Tak Masuk Akal – Peniaga
Next articlePencapaian UPSR Di Seluruh Negara Memberangsangkan