Najib Tiada Kaitan Penyingkiran Mukhriz – Rahman Dahlan

222
0
SHARE

HULU SELANGOR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiada kaitan dengan krisis politik di Kedah sehingga membawa kepada penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai Menteri Besar.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pihak yang menuduh Perdana Menteri sebagai dalang dalam isu tersebut diharap dapat menghentikan tohmahan itu.

“Ini adalah satu gerakan daripada pusat-pusat kuasa dalam negeri Kedah itu contohnya ketua-ketua UMNO bahagian yang majoriti tidak menyokong (Mukhriz).

“Kemudian, Pemuda, Wanita, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), Ahli Parlimen, malah EXCO sendiri yang dilantik Datuk (Seri) Mukhriz memberikan pandangan bahawa Kedah memerlukan Menteri Besar yang baru,” katanya pada sidang medianya selepas melakukan lawatan ke Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal Bukit Tagar di sini hari ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu menjelaskan, Mukhriz terpaksa meletak jawatan kerana tidak mempunyai sokongan majoriti.

“Politik adalah permainan yang bermain dengan nombor. Jika anda tidak mempunyai bilangan sokongan yang cukup, hari anda sebagai Menteri Besar akan berakhir,” katanya.

Dalam masa sama, Abdul Rahman turut kesal dan kecewa terhadap Mukhriz kerana tidak menggunakan peluangnya semasa menjadi Menteri Besar Kedah untuk membuktikan pemimpin muda boleh mengimbangi kepandaian mentadbir negeri dan mengurus dinamik politik

“Jadi bila beliau gagal, beliau memberikan refleksi kepada generasi muda bahawa orang muda ini tidak pandai mengatur kerajaan dan parti,” katanya.