Najib Memiliki Keperibadian Mulia – Zahid

1064
0
SHARE

Oleh: Khizairi Khizan

KUALA LUMPUR: Kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemimpin negara sudah dijangka oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi apabila mengenali anak bekas Perdana Menteri kedua itu kira-kira 30 tahun lalu.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kejayaan yang dicapai oleh Najib adalah hasil daripada kesungguhannya berjuang dalam parti, selain sikap sabarnya yang luar biasa itu.

“Saya dengan Najib seolah-olah adik beradik. Saya sama-sama berjuang dalam gerakan anak muda dan membela golongan itu untuk mendapatkan hak mereka,” katanya ketika hadir melancarkan buku Najib Razak, 40 Tahun, 40 Gambar di Kuala Lumpur Sentral, petang tadi.

Buku yang dihasil dan diterbitkan Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) dan Media Prima itu menceritakan kisah hidup Najib dan sejarah penglibatannya dalam politik.

Selain itu Zahid juga berkata, cara Najib menghadapi tekanan semasa ditahan mengikut Ops Lalang pada tahun 1987 meletakkan asas bagi dirinya menjadi seorang pemimpin yang hebat.

“Kami sama-sama daripada rambut lebat hingga rambut jarang. Daripada rambut hitam hingga rambut sudah beruban. Ini menunjukkan betapa lama saya bersamanya.

“Sebagai majikan dan rakan, saya lihat keperibadian beliau sangat luar biasa. Beliau ada kesabaran yang sangat tinggi yang jarang sekali seorang pemimpin mempunyai peribadi mulia seperti itu.

“Keistimewaan inilah yang Allah takdirkan untuk menguji kepemimpinan beliau. Bagaimanapun, beliau tetap tenang dan tidak gundah langsung,” katanya.